
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Pasaran Malaysia kekal sebagai antara destinasi terbaik bagi pengekalan modal kerana dilihat lebih stabil berbanding pasaran serantau yang lain dan Amerika Syarikat (AS).
- Pasaran Malaysia didorong oleh dana institusi tempatan, menjadikan turun naik pasaran lebih terkawal.
- Aset di bawah pengurusan dana tempatan berkembang kepada kira-kira RM1.14 trilion, lebih 50% dilaburkan dalam ekuiti.
- Rakuten Trade menyemak turun sasaran FBM KLCI kepada 1,770 mata susulan jangkaan pertumbuhan pendapatan korporat yang lebih sederhana.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee berkata keadaan itu disokong kedudukan pasaran domestik yang majoritinya dipacu dana institusi tempatan.
“Malaysia kekal sebagai destinasi terbaik bagi pengekalan modal memandangkan pasaran negara didorong pelabur tempatan, dengan dana domestik yang kukuh menjadi penggerak utama, sekali gus menjadikannya pasaran yang lebih stabil berbanding pasaran setara di rantau ini.
Jumlah aset di bawah pengurusan dalam dana tempatan berkembang pesat kepada kira-kira RM1.14 trilion dan lebih 50 peratus daripadanya telah dilaburkan dalam ekuiti. Oleh itu, kesan turun naik dalam pasaran tempatan adalah lebih terkawal,” katanya pada sesi taklimat Prospek Pasaran Rakuten bagi Suku Ketiga 2026 secara maya, hari ini.
Katanya, FBM KLCI secara konsisten merekodkan tahap turun naik yang lebih rendah berbanding kebanyakan pasaran serantau dan pasaran AS.
Sementara itu, Rakuten Trade menyemak turun sasaran FBM KLCI bagi tahun ini kepada 1,770 mata daripada 1,800 mata sebelum ini susulan jangkaan pertumbuhan pendapatan korporat yang lebih sederhana.
“Kami menyemak turun sasaran KLCI bagi tahun ini kepada 1,770 mata. Sasaran kami sebelum ini adalah 1,800. Ini berikutan jangkaan pertumbuhan pendapatan yang lebih rendah selepas pelarasan semula dibuat, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 17 kali.
Memandangkan ketidaktentuan semasa, kami lebih selesa dengan paras 1,770 mata.” katanya.