
KUALA LUMPUR, 28 APRIL – Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan Kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME SRF) berjumlah RM5 bilion bagi membantu perniagaan, termasuk perusahaan mikro yang terjejas oleh krisis bekalan global.
- PKS layak boleh memohon pembiayaan hingga RM750,000 untuk tempoh sehingga lima tahun dengan kadar maksimum 3.75% setahun.
- Pembiayaan termasuk yuran jaminan dan disokong jaminan sehingga 80% oleh CGC atau SJPP terutama bagi PKS tanpa cagaran mencukupi.
- SME SRF menyediakan pembiayaan modal kerja untuk membantu perniagaan berdaya maju meneruskan operasi ketika tempoh ketidakpastian.
- Permohonan dibuka 15 Mei 2026 hingga 31 Disember 2026 atau sehingga kemudahan digunakan; mohon terus kepada institusi kewangan terlibat.
BNM dalam kenyataan berkata, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang layak boleh mendapatkan pembiayaan hingga RM750,000 untuk tempoh sehingga lima tahun dengan kadar pembiayaan maksimum pada 3.75 peratus setahun, termasuk yuran jaminan.
Jelas bank pusat, kemudahan itu diperkenalkan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas perbincangan meja bulat bersama ketua-ketua pegawai eksekutif institusi kewangan pada 21 April lalu.
”SME SRF akan menyediakan pembiayaan modal kerja bagi membantu perniagaan yang berdaya maju untuk meneruskan operasi dan mengharungi tempoh ketidakpastian ini.
”Pembiayaan akan turut disokong oleh jaminan hingga 80 peratus daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), terutamanya bagi PKS yang tidak mempunyai cagaran yang mencukupi,” kata BNM.
Permohonan untuk SME SRF akan dibuka mulai 15 Mei 2026 hingga 31 Disember 2026, atau sehingga kemudahan ini digunakan sepenuhnya.
PKS boleh memohon secara terus kepada institusi kewangan yang terlibat, termasuk bank perdagangan, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang
dikawal selia oleh BNM.