
PUTRAJAYA, 28 April- Pasaran ekuiti tempatan terus menunjukkan daya tahan apabila Indeks FBM KLCI melepasi paras pra-krisis, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara di sebalik ketidaktentuan global.
- Kerajaan tidak menilai kekuatan ekonomi hanya melalui pasaran kewangan.
- Kekuatan sebenar ekonomi diukur melalui kemampuan rakyat, perniagaan dan pekerja mengekalkan kehidupan serta operasi.
- Krisis bekalan global menjadikan kestabilan tenaga dan rantaian bekalan penentu utama pilihan pelabur.
- Malaysia ada kelebihan struktur tetapi perlu tindakan tersusun untuk kekal berdaya saing menarik pelaburan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata indeks penanda aras itu meningkat kepada 1,720.3 mata pada 24 April 2026 berbanding 1,695.21 mata minggu sebelumnya, malah turut melepasi paras sebelum konflik.
“Ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara. Namun, kerajaan tidak menilai kekuatan ekonomi hanya berdasarkan pasaran kewangan,” katanya dalam Taklimat Harian Krisis Tenaga Global di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, kekuatan sebenar ekonomi perlu dinilai berdasarkan kemampuan rakyat mengurus perbelanjaan harian, keupayaan perniagaan mengekalkan operasi serta kebolehan pekerja mengekalkan pekerjaan.
Akmal Nasrullah berkata krisis bekalan global turut mengubah cara pelabur menilai destinasi pelaburan, dengan faktor kestabilan tenaga dan rantaian bekalan kini menjadi keutamaan.
“Ini bermakna negara yang mampu menjamin bekalan tenaga, melindungi operasi industri dan memperkukuh rantaian bekalan domestik akan mempunyai kelebihan lebih besar dalam menarik pelaburan,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia memiliki kekuatan struktur termasuk kedudukan geografi strategik, asas industri yang pelbagai serta ekosistem elektrik dan elektronik yang semakin matang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kekuatan tersebut perlu diterjemahkan kepada tindakan lebih tersusun bagi memastikan negara kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan di tengah ketidaktentuan global.