
SEPANG, 15 Jun – Hampir 20,000 murid dan warga sekolah di 14 sekolah seluruh negara bakal menerima manfaat melalui projek rintis Zon Sekolah Selamat, bagi meningkatkan keselamatan murid serta mengurangkan risiko kemalangan di kawasan sekolah.
- Zon Sekolah Selamat menggunakan reka bentuk khas seperti bonggol, perabot jalan, dan had laju 30 kilometer sejam untuk mengurangkan kelajuan kenderaan.
- Projek rintis di Brickfields, Kuala Lumpur telah siap sepenuhnya dan dijadikan model untuk pelaksanaan di lokasi lain.
- Kos dianggarkan RM200,000 hingga RM300,000 setiap zon; MKJR menggesa kerjasama kerajaan negeri, PBT, swasta, pemaju dan PIBG.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan, inisiatif yang digerakkan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) itu laksanakan susulan beberapa insiden yang melibatkan kematian murid serta statistik menunjukkan purata hampir 70 kemalangan berlaku di kawasan sekolah setiap tahun.
“Apa yang dimaksudkan dengan zon selamat ialah ia perlu ada reka bentuk khas (special design) di depan sekolah itu. Kita ada buat bonggol, perkakas perabot jalan raya, ada reka bentuk yang memastikan kenderaan yang lalu sekolah itu mesti perlahankan kenderaan mereka dan di zon sekolah sekarang ini kita telah menetapkan had laju 30 kilometer sahaja.
“Sehubungan itu, usaha untuk memperluaskan pelaksanaan Zon Sekolah Selamat ke lebih banyak sekolah di seluruh negara akan diperkasa bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk warga sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-62 Majlis Keselamatan Jalan Raya di sini.
Jelasnya, sebuah projek rintis di kawasan Brickfields, Kuala Lumpur telah siap sepenuhnya dan kini dijadikan model untuk pelaksanaan di lokasi lain.
Kos bagi mewujudkan satu Zon Sekolah Selamat dianggarkan antara RM200,000 hingga RM300,000 manakala pelaksanaan 14 projek rintis yang sedang dijalankan melibatkan perbelanjaan sekitar RM4 hingga RM5 juta.
Sehubungan itu, Loke menggesa kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat swasta, pemaju hartanah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk bersama-sama menyokong dan menyumbang kepada peluasan program tersebut.
Tambahnya, MKJR telah mengenal pasti sekolah-sekolah yang berisiko berdasarkan lokasi di jalan persekutuan dan jalan negeri, sekali gus memudahkan pelaksanaan program secara lebih meluas pada masa hadapan.