
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Prestasi perdagangan Malaysia bagi Mei 2026 dijangka mencatatkan trajektori yang positif meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik susulan konflik di Asia Barat.
- Perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta pengeksport tempatan menunjukkan daya tahan tinggi disokong permintaan luar negara walaupun gangguan rantaian bekalan.
- Pertumbuhan eksport dipacu produk elektrik dan elektronik, semikonduktor, peralatan optik saintifik serta gas asli cecair.
- Angka rasmi perdagangan dan eksport Mei akan diumumkan DOSM dan MITI pada 19 Jun.
- Eksport peranti perubatan bernilai RM30 hingga RM40 bilion setahun, wujud peluang pelbagaian dan perlu tumpu produk penjagaan kesihatan bernilai tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pengeksport tempatan masih menunjukkan daya tahan yang tinggi, disokong oleh permintaan luar yang kukuh, meskipun gangguan rantaian bekalan telah memberi kesan kepada perdagangan global.
“Pertumbuhan eksport turut didorong oleh permintaan yang memberangsangkan dari luar negara, khususnya bagi industri dan produk seperti elektrik dan elektronik, semikonduktor, peralatan optik saintifik serta gas asli cecair (LNG). Beberapa sektor lain turut mencatatkan prestasi baik dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
“Pengumuman angka rasmi perdagangan dan eksport bagi bulan Mei akan diumum pada 19 Jun ini. Jadi, saya tidak boleh berkongsi angka tersebut sekarang. Namun berdasarkan prestasi bulan-bulan sebelum ini, kita menjangkakan trajektori yang positif dan eksport yang terus kukuh bagi bulan Mei,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sidang media Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2026 yang dijadual berlangsung di Bangkok pada 8 – 10 Julai depan.
Tambahnya, pengumuman prestasi perdagangan dan eksport bagi bulan Mei akan dibuat secara rasmi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sementara itu, ketika mengulas mengenai industri peranti perubatan, Abu Bakar berkata, negara kini mengeksport peranti perubatan bernilai antara RM30 bilion hingga RM40 bilion setahun.
“Tetapi kita merasakan bahawa potensi untuk syarikat tempatan mengembangkan lagi perdagangan eksport itu masih terbuka luas.
“Bukan itu sahaja, malah terdapat peluang untuk syarikat tempatan mempelbagaikan produk yang dieksport,” katanya.
Menurut beliau, syarikat tempatan perlu bergerak ke arah pembangunan produk peranti perubatan dan penjagaan kesihatan bernilai tinggi bagi meningkatkan daya saing sektor berkenaan.
Ia selaras dengan perkembangan semasa dalam sektor teknologi tinggi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT).