Subsidi bersasar perlu diperkemas, elak ketirisan

Pengarah MINDA-UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali

BANGI, 23 Oktober – Mekanisme penyasaran subsidi perlu diperkemas dengan memanfaatkan teknologi, analitik data dan maklumat pendapatan isi rumah bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebahagian manfaat subsidi dinikmati golongan berpendapatan tinggi secara tidak seimbang.
  • Golongan berpendapatan tinggi lebih sesuai dibantu melalui potongan cukai berbanding subsidi menyeluruh.
  • Perbelanjaan subsidi tinggi tanpa pengurusan fiskal teliti boleh meningkatkan keperluan pinjaman kerajaan dan menjejaskan peruntukan pembangunan.
  • PAKW dicadangkan sebagai penanda aras, mengambil kira kos sara hidup dan keperluan isi rumah mengikut lokasi; kejayaan diukur melalui pengurangan kebergantungan bantuan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, pendekatan itu dapat mengelakkan golongan berpendapatan tinggi turut menikmati manfaat subsidi secara tidak seimbang.

Beliau berkata, golongan berpendapatan tinggi boleh dibantu melalui kaedah lain, termasuk potongan cukai, berbanding pemberian subsidi secara menyeluruh.

“Sebahagian daripada manfaat subsidi menyeluruh sebenarnya turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi,” katanya selepas Bicara Persada Belanjawan 2027 bertemakan Menjaga Poket Rakyat, Mengukuh Kantung Negara, di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbelanjaan subsidi yang tinggi tanpa pengurusan fiskal teliti boleh meningkatkan keperluan pinjaman kerajaan dan menjejaskan peruntukan pembangunan.

Mengulas kelayakan bantuan, beliau mencadangkan Pendapatan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dijadikan penanda aras dengan mengambil kira kos sara hidup serta keperluan sebenar isi rumah mengikut lokasi.

Katanya, kejayaan pembangunan ekonomi seharusnya diukur melalui pengurangan kebergantungan rakyat terhadap bantuan kerajaan, bukan sekadar jumlah penerima bantuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.