
KUALA LUMPUR, 14 November – Majlis Getah Malaysia (MRC) memperkukuh usaha peralihan rendah karbon dalam industri produk getah negara menerusi penyediaan panduan teknikal dan sokongan kelestarian bagi membantu pengeluar memenuhi keperluan pasaran global.
- Tiga inisiatif utama: Pelan Hala Tuju Peralihan Rendah Karbon, Panduan Praktikal ESG, dan dana STRIDE diperkenalkan untuk sokongan industri.
- Inisiatif bertujuan membantu pengeluar mengurus pelepasan GHG, mengukuh amalan ESG dan meningkatkan daya saing pasaran antarabangsa.
- Penyertaan MRC di COP31 membuka peluang kerjasama antarabangsa bagi pengeluaran bertanggungjawab, inovasi getah asli dan kelestarian industri.
Inisiatif itu diketengahkan pada Persidangan Pihak-Pihak ke-31 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP31) di Antalya, Türkiye, khususnya sempena Hari Kluster Perladangan dan Komoditi di Pavilion Malaysia pada 11 November lalu.
“Antara yang diketengahkan ialah Pelan Hala Tuju Peralihan Rendah Karbon bagi Pengilang Getah dan Produk Getah Malaysia, Panduan Praktikal Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi Pemproses dan Pengilang Getah di Malaysia, serta dana Peralihan Mampan untuk Pembangunan Industri Getah dan ESG (STRIDE),” menurut MRC dalam satu kenyataan.
Ketiga-tiga inisiatif itu bertujuan membantu pemain industri mengurus pelepasan gas rumah kaca (GHG), memperkukuh amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta meningkatkan daya saing di pasaran antarabangsa.
Ketua Pegawai Kelestarian dan Maklumat MRC, Mohammad Hafezh Abdul Rahman berkata, perubahan keperluan pasaran global menuntut pengeluar produk getah Malaysia memberikan perhatian lebih serius terhadap aspek kelestarian dan sumber yang diperoleh secara bertanggungjawab.
“Menerusi inisiatif yang dilaksanakan, kami berusaha menyediakan sokongan praktikal bagi membantu pemain industri meningkatkan prestasi alam sekitar, memperkukuh amalan ESG dan mengekalkan daya saing di pasaran antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan.
Penyertaan MRC pada COP31 turut membuka ruang untuk memperluas kerjasama antarabangsa dalam memperkukuh amalan pengeluaran bertanggungjawab, inovasi getah asli dan kelestarian industri getah negara.