Kebajikan dan pendidikan masyarakat India terus diberi perhatian

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 14 November –Aspek pendidikan dan kebajikan masyarakat India, termasuk pembangunan sekolah Tamil, pemerkasaan bahasa Tamil, penyelenggaraan rumah ibadat Hindu serta nasib golongan miskin di bandar dan kawasan estet, terus diberi perhatian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri mengakui masih wujud aspek perlu diperbaiki bagi memastikan keperluan komuniti India terbela.
  • Kerajaan menerapkan pendekatan MADANI untuk memastikan bantuan kebajikan disalurkan mengikut keperluan tanpa mengira kaum.
  • Pelaksanaan inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah dan pemberian RM200 kepada setiap murid sekolah.
  • Seruan agar rakyat mengekalkan semangat kekeluargaan dan saling menghormati kepelbagaian demi keharmonian negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki bagi memastikan keperluan masyarakat India terbela.

“Kita akan melakukan yang terbaik, namun masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Ini termasuk aspek pendidikan, pemerkasaan bahasa Tamil dan pembangunan sekolah Tamil.

“Begitu juga dengan perkara berkaitan rumah ibadat Hindu, kebajikan peniaga masyarakat India serta nasib golongan miskin di bandar dan kawasan estet. Semua perkara ini perlu diberi perhatian, ditangani dan diselesaikan sebaik mungkin,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Deepavali Peringkat Kebangsaan 2026 di Little India, Brickfields.

Majlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara dengan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) itu turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Perdana Menteri berkata pendekatan Kerajaan MADANI adalah memastikan penyaluran bantuan kebajikan mengambil kira keperluan sebenar rakyat tanpa mengira kaum, selaras dengan usaha memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan negara.

Datuk Seri Anwar berkata pendekatan itu diterjemahkan menerusi inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain peruntukan bantuan RM200 kepada setiap murid sekolah pada Januari ini yang melibatkan semua aliran pendidikan.

“Anak-anak kita di semua aliran sekolah, semua kaum, semua daerah masuk sekolah. Kita berikan RM200 setiap anak sekolah. Sebab apa? Sebab kita fikirkan masa depan dia,” kata Menteri Kewangan itu.

Datuk Seri Anwar turut menyeru rakyat agar terus memelihara semangat kekeluargaan serta saling menghormati dan menghargai kepelbagaian agama, budaya, bahasa mahupun keturunan demi keharmonian negara.

“Walaupun kita berbeza warna kulit, agama, budaya, bahasa dan keturunan, kita ada kemanusiaan. Kita menghormati dan menghargai satu sama lain. Itulah bagaimana Malaysia mesti kekal dan berjaya sebagai sebuah negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.