
KUALA LUMPUR, 28 April – Eksport produk halal dijangka terus berkembang meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.
- MATRADE mempelbagaikan pasaran eksport untuk memperluas peluang dan daya saing pengeksport Malaysia.
- MIHAS 2026 menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM4.5 bilion, meningkat daripada sasaran tahun lalu RM4.3 bilion.
- Pameran dijangka menarik sekurang-kurangnya 2,300 pempamer dari lebih 50 negara.
- MIHAS perkenal komponen Women in Export (WiEX) untuk memperkasa usahawan dan pengeksport milikan wanita.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof berkata, ini susulan langkah mempelbagaikan pasaran eksport yang dilaksana ketika ini.
“Pada tahun ini, seperti yang kita sedia maklum, kita berdepan krisis global, namun MATRADE mengambil pendekatan mempelbagaikan pasaran eksport. Justeru, eksport produk halal dijangka terus berkembang, dengan sasaran pertumbuhan keseluruhan antara tiga hingga lima peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pra Pelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026, di sini.
Seiring itu, MATRADE katanya, menyasarkan jumlah jualan keseluruhan RM4.5 bilion bagi MIHAS 2026, meningkat berbanding sasaran RM4.3 bilion pada tahun lalu.
Abu Bakar berkata pameran yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 26 September 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia itu, dijangka menarik sekurang-kurangnya 2,300 pempamer dari lebih 50 negara.
Selain itu, sebanyak 600 pengeksport tempatan akan diketengahkan menerusi inisiatif MIHAS Showcase bagi mempamerkan kekuatan industri halal negara di peringkat global.
MIHAS 2026 turut memperkenalkan komponen baharu iaitu Women in Export (WiEX) bagi memperkasa usahawan wanita serta pengeksport milikan wanita untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Mengangkat tema “Membentuk Kepercayaan, Memacu Daya Tahan”, MIHAS 2026 akan memberi tumpuan kepada pembinaan ekosistem perdagangan diyakini dalam persekitaran geopolitik global yang mencabar.