Harga bahan makanan masih terkawal meskipun tekanan input mula kelihatan – Menteri Ekonomi

Foto fail RTM

PUTRAJAYA, 28 April- Harga bahan makanan terpilih masih berada dalam julat terkawal meskipun tekanan input mula kelihatan ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Untuk tempoh 20 hingga 22 April, perubahan harga bahan makanan terpilih kurang daripada 10 peratus.
  • Ayam standard naik 3.3 peratus kepada RM9.70/kg; telur Gred C naik 7.3 peratus kepada RM3.93 bagi 10 biji.
  • Daging lembu menurun 3.8 peratus kepada RM35.92 per kg.
  • Ikan kembung turun 1.1%, ikan cencaru naik 0.95%, udang putih naik 0.61%; sawi, bayam dan santan kelapa turut meningkat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata bagi tempoh 20 hingga 22 April harga bahan makanan terpilih masih dalam trend pergerakan terkawal dengan perubahan harga kurang daripada 10 peratus.

Menurut beliau, harga purata ayam standard meningkat 3.3 peratus kepada RM9.70 per kilogram (kg), telur ayam Gred C meningkat 7.3 peratus kepada RM3.93 bagi 10 biji manakala daging lembu menurun 3.8 peratus kepada RM35.92 per kg.

“Bagi makanan laut, ikan kembung menurun 1.1 peratus kepada RM16.10 per kg, manakala ikan cencaru dan udang putih masing-masing meningkat 0.95 peratus kepada RM10.36 per kg dan 0.61 peratus kepada RM32.03 per kg.

“Dalam kategori sayur-sayuran pula, sawi meningkat daripada RM6.16 per kg kepada RM6.51 per kg, bayam hijau meningkat hampir lima peratus kepada RM5.59 per kg dan santan kelapa segar meningkat 3.6 peratus kepada RM16.41 per kg,” katanya.

Beliau berkata trend berkenaan menunjukkan bahawa tekanan kos input dan logistik mula memberi isyarat awal mengenai rantaian bekalan makanan domestik.

“Sebab itu, pemantauan tidak boleh hanya dibuat di peringkat harga runcit, tetapi mesti bermula daripada peringkat huluan iaitu baja, diesel, tenaga, bahan mentah, pengeluaran, pengangkutan dan pengedaran.

“Kerajaan juga akan meneruskan pemantauan dan intervensi bersesuaian bagi mengurangkan kesan kepada pengguna serta mengekalkan kestabilan harga,” katanya.

Beliau memaklumkan perkara itu menerusi Taklimat Krisis Bekalan Global, di sini, hari ini.