
PUTRAJAYA, 28 April – Kerajaan MADANI terus memperkukuh langkah berfasa dan tersusun bagi mengurus krisis rantaian bekalan global, kekurangan bahan mentah serta peningkatan kos sara hidup susulan konflik di Asia Barat.
- MTEN membincangkan pendekatan menyeluruh memastikan kestabilan bekalan asas dan mengurangkan impak lonjakan kos kepada rakyat.
- Lima keutamaan termasuk menstabilkan tenaga dan input kritikal, kawal tekanan kos, lindungi pekerjaan serta pastikan projek penting tidak terbengkalai.
- Kerajaan akan terjemah asas ekonomi kukuh melalui tindakan tegas, pengukuhan peranan GLC dan GLIC bagi melindungi rakyat serta daya tahan ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diberi perhatian serius dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan membincangkan secara terperinci pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memastikan kestabilan bekalan asas negara, di samping mengurangkan impak lonjakan kos terhadap rakyat.
“Keutamaan kerajaan bukan sekadar menstabilkan harga, tetapi memastikan bekalan asas terus terjamin serta mengurangkan kesan kenaikan kos mendadak kepada rakyat.
“Kerajaan mengurus situasi tersebut berpandukan data, libat urus bersama industri serta tindakan segera di lapangan,” jelasnya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Jelas beliau, MTEN memberi tumpuan kepada lima keutamaan utama iaitu menstabilkan bekalan tenaga dan input kritikal, mengawal tekanan kos kepada rakyat, memastikan projek penting tidak terbengkalai, melindungi pekerjaan dan pendapatan isi rumah serta memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang.
Dalam mesyuarat sama, MTEN turut meneliti pembentangan Khazanah Nasional Berhad berhubung implikasi krisis bekalan global yang kini mempengaruhi pertimbangan pelabur, khususnya dari aspek kestabilan tenaga, akses bahan mentah dan keupayaan negara mendepani kejutan ekonomi.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk berdepan cabaran semasa, namun kekuatan itu perlu diterjemahkan menerusi tindakan tegas, tersusun dan berkesan.
Beliau menegaskan, dengan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang terus diperkasa, kerajaan komited memastikan negara kekal stabil, rakyat dilindungi serta ekonomi negara lebih berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.