AOX 2026 perkukuh Malaysia sebagai hab pelancongan pengembaraan serantau

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 28 April – Penganjuran Asia Offroad Expo & Convention (AOX) 2026 dilihat sebagai platform strategik menghimpunkan pemain industri ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan pelancongan pengembaraan Asia-Pasifik, sekali gus mengukuhkan sektor itu sebagai pemacu ekonomi baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, acara menekankan pelancongan berkualiti, pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti.
  • Pemangkin inovasi, memperkasa pelancongan pengembaraan dan ekopelancongan bertanggungjawab dengan fokus keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.
  • Menarik penyertaan tempatan dan antarabangsa, memikat pelancong berpendapatan tinggi serta membuka peluang perniagaan dan rangkaian industri antarabangsa.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, penganjurannya selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pelancongan berkualiti tinggi, pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, industri berkenaan turut berpotensi menarik pelancong berpendapatan tinggi serta menyumbang kepada ekonomi negara.

“Acara ini bukan sahaja menjadi platform untuk mempamerkan teknologi dan inovasi terkini, malah bertindak sebagai pemangkin kepada perkembangan industri pelancongan pengembaraan dan ekopelancongan yang bertanggungjawab.

“Dalam konteks MADANI, pembangunan sektor ini perlu dilaksanakan secara inklusif, beretika dan seimbang dengan mengambil kira aspek keselamatan, pemeliharaan alam sekitar, serta manfaat kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan AOX 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Chiew berkata, acara itu dijangka menarik penyertaan tempatan dan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan spesifik, khususnya dalam segmen ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan ekopelancongan.

“Kementerian menegaskan komitmen berterusan dalam menyokong inisiatif strategik seumpama itu dengan kerjasama erat sektor awam dan swasta dilihat sebagai kunci kepada pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya.

Tambah beliau, usaha bersepadu itu bukan sahaja membuka peluang kepada usahawan tempatan, malah memperluas rangkaian industri ke peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, AOX 2026 akan diadakan dari 23 hingga 25 Oktober depan di WTCKL yang bakal menghimpunkan pemain utama industri serta peminat pengembaraan.