
SEPANG, 28 April – Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) bukan sahaja memfokuskan sektor pelancongan konvensional, malah program berkenaan turut mengangkat Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan kesihatan.
- Inisiatif TMM2026 dan MYMT2026 oleh Tourism Malaysia dan MHTC selari dengan usaha kerajaan memperkukuh industri pelancongan kesihatan.
- Tema MYMT2026 'Healing Meets Hospitality' galakkan pelancong mendapatkan rawatan sambil bercuti di Malaysia.
- Malaysia tawarkan kemudahan perubatan bertaraf dunia, kos rawatan kompetitif dan kepakaran perubatan diiktiraf antarabangsa.
- Kempen dan kerjasama strategik dengan rangkaian kesihatan serta peruncitan kecantikan dijangka limpah manfaat kepada sektor berkaitan.
Inisiatif TMM2026 oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia dan Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2026 (MYMT 2026) anjuran Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) itu selari usaha kerajaan memperkukuh industri pelancongan kesihatan yang semakin mendapat perhatian pelawat antarabangsa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, kempen MYMT 2026 bertemakan ‘Healing Meets Hospitality’ dilihat sebagai masa terbaik untuk pelancong mendapatkan rawatan kesihatan sambil bercuti di negara ini.
Menurut beliau, Malaysia memiliki kelebihan tersendiri menerusi kemudahan perubatan bertaraf dunia, kos rawatan kompetitif dan kepakaran tenaga perubatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Tahun lalu, Malaysia merekodkan 1.84 juta pelancong kesihatan, sekali gus menjana pendapatan melebihi RM3 bilion, mencerminkan tahap kepercayaan tinggi pelancong terhadap sistem kesihatan negara.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kerjasama strategik antara Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia dengan rangkaian gedung kesihatan, serta kecantikan terkemuka bagi mempromosikan TMM2026 dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi kesihatan dan kecantikan.
Dalam perkembangan sama, peluasan kempen TMM2026 dijangka memberi limpahan manfaat kepada pelbagai sektor berkaitan termasuk hospitaliti, pengangkutan dan perkhidmatan sokongan.