
PENDANG, 28 April– Seramai 582 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang yang terjejas akibat kejadian ribut pada Isnin (27 April) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula esok.
- MARA mohon peruntukan darurat dianggarkan RM1.5 juta untuk membiayai pembaikan segera di MRSM Pendang.
- MARA dan pejabat MARA negeri telah kenal pasti kontraktor untuk kerja pembersihan segera diikuti pembaikan sepenuhnya.
- Ribut menyebabkan beberapa struktur bangunan rosak, termasuk bumbung diterbangkan angin kencang.
- Tiada kecederaan dilaporkan; situasi terkawal dan MARA sedang menjalankan penilaian kerosakan terperinci.
Keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin selain memberi ruang kepada kerja-kerja penilaian kerosakan infrastruktur maktab yang dilaporkan agak serius.
Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Shahrizal Mohd Saderi, yang juga menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA berkata kesemua pelajar terlibat dijangka kembali semula ke asrama pada Ahad ini.
Beliau memberi jaminan bahawa situasi kini terkawal dan pihak MARA sedang giat melaksanakan penilaian terperinci terhadap setiap kerosakan yang berlaku.
“Pihak MARA bersama pejabat MARA negeri telah mengenal pasti kontraktor yang berkeupayaan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan segera. Langkah awal melibatkan kerja pembersihan sebelum diikuti dengan fasa pembaikan sepenuhnya.”
“Kita juga sedang merangka beberapa pelan kontingensi bagi menyelesaikan isu ini dalam kadar segera. Buat masa ini, kita memberikan pelepasan kepada pelajar untuk pulang ke rumah sehingga hari Ahad,” kata Shahrizal kepada pemberita selepas melawat MRSM Pendang, hari ini.
Tambah Shahrizal, pihaknya sedang dalam proses mendapatkan kelulusan peruntukan darurat yang dianggarkan mencecah RM1.5 juta.
Sebaik sahaja peruntukan tersebut diluluskan, kerja-kerja pembaikan fizikal akan dimulakan dengan kadar segera bagi memastikan persekitaran maktab kembali selamat untuk didiami.
Kejadian ribut yang melanda petang Isnin (27 April) telah mengakibatkan beberapa struktur bangunan maktab mengalami kerosakan, termasuk bumbung yang diterbangkan angin kencang.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan pelajar mahupun kakitangan.