85 peratus pengguna domestik kekal terima pengecualian caj AFA

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir/BERNAMA

PUTRAJAYA, 28 April– Pengguna domestik di negara ini akan terus dilindungi daripada impak perubahan kos elektrik, meskipun tekanan akibat krisis bekalan global semakin meruncing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kira-kira 7.5 juta pengguna domestik atau 85% yang guna bawah 600 kWh terus dikecualikan daripada caj AFA.
  • Kerajaan memberi jaminan meminimumkan kesan perubahan kos elektrik terhadap rakyat dan sektor perniagaan.
  • Risiko utama ialah ketidaktentuan harga bahan api, kerajaan memantau rantaian bekalan makanan serta meneruskan intervensi.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan pengguna dengan penggunaan elektrik di bawah 600 kilowatt-jam (kWj) tidak akan terkesan dengan sebarang pelarasan kos.

Jaminan itu diberikan meskipun kos penjanaan bagi Mei 2026 diunjur meningkat susulan kenaikan harga arang batu kepada RM21.28 per juta Btu, berbanding harga asas RM19.14 per juta Btu.

“Kerajaan memberi jaminan untuk meminimumkan kesan perubahan kos elektrik terhadap rakyat dan sektor perniagaan.”

“Sehubungan itu, kira-kira 7.5 juta pengguna domestik atau 85 peratus daripada keseluruhan pengguna yang menggunakan elektrik di bawah 600 kilowatt-jam (kWj) akan terus dikecualikan sepenuhnya daripada caj Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA),” kata Akmal Nasrullah dalam sidang media Taklimat Harian Krisis Tenaga Global, hari ini.

Tambahnya, risiko utama ketika ini bukan berpunca daripada kekurangan bekalan, sebaliknya ketidaktentuan harga bahan api seperti arang batu dan gas di pasaran global.

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal Nasrullah berkata harga makanan terpilih masih berada dalam julat terkawal, namun tekanan daripada kos input dan logistik mula menunjukkan tanda awal.

“Trend ini menunjukkan bahawa tekanan kos input dan logistik mula memberi isyarat awal mengenai rantaian bekalan makanan domestik,” katanya.

Jelasnya, pemantauan tidak boleh tertumpu kepada harga runcit semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan keseluruhan rantaian daripada peringkat huluan termasuk baja, tenaga, pengeluaran dan pengedaran.

Menurutnya, kerajaan akan meneruskan pemantauan serta intervensi bersesuaian bagi mengurangkan kesan kepada pengguna dan mengekalkan kestabilan harga.