
SEREMBAN, 28 April- Pakatan Harapan (PH) memaklumkan bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan tidak berubah dan kekal berfungsi seperti biasa di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun susulan perkembangan politik semasa.
- PH akan terus memberi kerjasama kepada kepimpinan negeri demi kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat.
- PH akan terus mempertahan peranan dan fungsi institusi Raja-Raja Melayu.
- PH mengecam tindakan 14 ADUN UMNO/BN sebagai pengkhianatan dan bukan disebabkan prestasi Menteri Besar.
- Kesemua 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan menarik sokongan, memaklumkan hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata PH akan terus memberi kerjasama kepada kepimpinan kerajaan negeri demi kestabilan ekonomi negeri dan kebajikan rakyat.
“PH memberi komitmen bahawa, seperti yang telah disembah maklum oleh Pengerusi Pakatan Harapan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (Tuanku Muhriz Tuanku Munawir), pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) berjalan seperti biasa.
“PH juga akan terus mempertahan peranan dan fungsi institusi Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengenai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan BN Negeri Sembilan yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, Datuk Fahmi menyatakan bahawa PH kesal dengan tindakan itu yang disifatkan sebagai tidak menghayati semangat Kerajaan Perpaduan.
“PH menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan UMNO BN Negeri Sembilan untuk cuba menebuk atap dan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, apatah lagi alasan tindakan 14 ADUN berkenaan tidak terkait sama sekali dengan prestasi Menteri Besar.
“Tindakan UMNO BN Negeri Sembilan ini telah dilakukan tanpa mempedulikan kebajikan rakyat, malah dilakukan pada ketika Kerajaan Perpaduan dan negara berdepan dengan krisis bekalan global, dan berusaha menguruskan ekonomi serta mengurangkan beban yang dihadapi rakyat,” jelasnya lagi.
Semalam, kesemua 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan sebulat suara memaklumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin, susulan isu pemerintahan yang berlaku.