Malaysia sasar 2GW kapasiti TBB setahun, pacu agenda pelepasan sifar bersih 2050

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad

KUALA LUMPUR, 28 April– Malaysia menyasarkan penambahan kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) sehingga 2 gigawatt (GW) setiap tahun bagi mempercepat agenda peralihan tenaga negara, sekali gus mencapai status pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mempercepat program LSS, NEM dan CRESS untuk memacu peralihan tenaga, mewujudkan peluang pekerjaan dan membina rantaian bekalan tempatan.
  • Melabur dalam pemodenan grid serta sistem storan bateri untuk memastikan kestabilan dan integrasi Tenaga Boleh Baharu lebih tinggi.
  • Mengukuhkan kerjasama ASEAN melalui ENEGEM dan Grid Kuasa untuk perdagangan elektrik rentas sempadan, penyelarasan piawaian dan membuka kunci pembiayaan hijau.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata sasaran itu bukan sekadar bermatlamat menjana tenaga, malah bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta membina rantaian bekalan tempatan yang kukuh bagi menyokong ekonomi hijau masa hadapan.

Ke arah itu, pelbagai langkah proaktif dan teguh sedang dilaksana termasuk mempercepatkan program Solar Skala Besar (LSS), Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) serta Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).

“Fokus kami adalah untuk memberikan hasil yang nyata. Pada masa yang sama, kami memperkukuh kecekapan pasaran tenaga melalui aturan penghantaran baharu yang dipertingkatkan.”

“Kami juga melabur dalam pemodenan infrastruktur grid dan penggunaan sistem storan tenaga bateri bagi memastikan sistem kekal stabil serta bersedia untuk integrasi TBB yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak R.A.C.E to Zero Summit mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini, hari ini.

Menurut beliau, komitmen tersebut selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan 70 peratus kapasiti TBB menjelang 2050, selain pengurangan intensiti karbon sebanyak 45 peratus pada 2030.

Mengulas mengenai kerjasama serantau, Datuk Seri Abdul Rahman menyatakan Malaysia kekal komited menerajui kemajuan Grid Kuasa ASEAN bagi memperkukuh perdagangan elektrik merentas sempadan.

“Melalui inisiatif seperti Energy Exchange Malaysia (ENEGEM), kita telah mula mengeksport tenaga boleh baharu ke Singapura yang merupakan isyarat jelas tentang keupayaan dan kesediaan kita memacu integrasi serantau.

“Melangkah ke hadapan, PETRA akan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi ASEAN untuk mengukuhkan ketersambungan, menyelaraskan piawaian teknikal dan membuka kunci pembiayaan hijau,” tambahnya.

Tegasnya, Malaysia kini berada pada kedudukan terbaik untuk menarik pelaburan bernilai antara AS$30 hingga AS$40 bilion dalam tempoh sedekad akan datang merangkumi sektor TBB, infrastruktur grid, penyimpanan tenaga dan elektrifikasi industri.