Iman Gobinathan tekad kekal momentum, waspada tempoh rehat panjang

Ketua Jurulatih Hoki Maybank, Iman Gobinathan Abdullah / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 28 April – Ketua jurulatih hoki Maybank, Iman Gobinathan Abdullah mengakui cabaran besar bagi pasukannya adalah untuk mengekalkan konsistensi prestasi susulan tempoh rehat liga yang agak panjang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tekankan pemulihan namun mengekalkan tempo permainan semasa rehat 10 hari supaya momentum tidak merosot.
  • Pastikan semua pemain bersemangat tinggi dan terus berlatih untuk kekalkan intensiti menjelang aksi penting.
  • Kemenangan 3-0 ke atas Liaoning kukuhkan kedudukan tanpa kalah dan persiapan untuk pertemuan ATM dan TNB.

Iman Gobinathan menegaskan bahawa walaupun tempoh rehat tersebut penting untuk proses pemulihan pemain, beliau tidak mahu momentum dan intensiti permainan skuad ‘Tigers’ merosot sebelum aksi seterusnya bermula.

“Saya perlu fokus kepada liga, ini adalah minggu yang sangat krusial kerana kita ada tempoh rehat 10 hari yang lama sebelum bermain satu lagi perlawanan penting.

“Sebab itu saya cuba memastikan semua pemain berada dalam semangat yang tinggi untuk bertahan. Ia waktu yang baik untuk pemulihan, tetapi tempo permainan tidak boleh turun. Kita perlu terus melonjakkan tempo tersebut,” katanya.

Kenyataan itu menyusul selepas Maybank mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga musim ini dengan membenam cabaran kelab dari China, Liaoning Men’s Hockey Team 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Maybank di persada carta dengan kutipan 10 mata daripada empat perlawanan, selain mencatatkan perbezaan 16 gol yang memberangsangkan.

Berdasarkan jadual rasmi, Maybank akan berehat selama 10 hari sebelum menyambung semula cabaran liga menentang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 8 Mei depan.

Ujian sebenar buat anak buah Iman Gobinathan akan menyusul pada 16 Mei apabila mereka dijadualkan bertemu gergasi hoki negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Persiapan sepanjang tempoh ini dianggap kritikal bagi memastikan Maybank bersedia sepenuhnya menghadapi dua aksi tumpuan yang bakal menentukan kedudukan mereka dalam perebutan kejuaraan liga.