
KUALA LUMPUR, 28 April – Pasukan hoki Maybank mempamerkan aksi dominan apabila berjaya menumpaskan kelab dari China, Liaoning Men’s Hockey Team dengan keputusan 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
- Maybank kekal tanpa kalah selepas empat perlawanan, mengumpul 10 mata untuk mendahului carta.
- Gol awal oleh Muhammad Shahril pada minit ke-4 dan Razie pada minit ke-5 menetapkan rentak suku pertama.
- Ketua jurulatih Iman Gobinathan puji permulaan pantas, disiplin pertahanan, namun sukar jaringkan gol dari pukulan sudut penalti.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad ‘Tigers’ terus konsisten mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi empat perlawanan, mengumpul 10 mata keseluruhan untuk berada di persada carta.
Maybank memulakan pesta gol seawal minit ke-4 menerusi pukulan padang Muhammad Shahril Saabah, sebelum Muhammad Razie Abd Rahim menggandakan kedudukan seminit kemudian untuk mendahului 2-0 pada suku pertama.
Muhammad Najmi Farizal Jazlan kemudian mengesahkan kemenangan mutlak pasukan menerusi jaringan sudut penalti pada minit ke-38, sekali gus memastikan tiga mata.
Ketua Jurulatih Maybank, Iman Gobinathan menyifatkan permulaan pantas dengan gol awal menjadi kunci utama kejayaan pasukannya dalam mengawal rentak permainan.
“Saya rasa kita bermula dengan baik, itu sebab kita dapat gol awal dan perlahan-lahan membina rentak melalui kombinasi yang semakin baik antara pemain pertahanan, tengah dan penyerang.
“Hari ini kita bertahan dengan baik dan lebih berdisiplin di bahagian pertahanan. Kita melakukan banyak terjahan (tackle) yang bersih,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Beliau bagaimanapun mengakui pasukannya berdepan cabaran untuk memanfaatkan peluang pukulan sudut penalti (PC) ekoran ketangkasan barisan pertahanan lawan.
“Liaoning mempunyai larian PC yang sangat bagus, memang susah untuk kita dapatkan peluang menjaringkan gol melalui PC hari ini. Kita dapat jumlah PC yang cukup, cuma kita tidak berjaya menjaringkan gol daripadanya,” jelas beliau.