UAE ambil keputusan keluar OPEC dan OPEC+

Foto REUTERS 

DUBAI, 28 April – Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa mengambil keputusan keluar daripada OPEC dan OPEC+, satu langkah yang memberi tamparan hebat kepada kumpulan pengeksport minyak itu serta pemimpin de facto, Arab Saudi ketika konflik Asia Barat telah menjejaskan ekonomi global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dibuat selepas penelitian rapi terhadap dasar tenaga dan tahap pengeluaran, menurut Menteri Tenaga Suhail Mohamed al-Mazrouei.
  • Negara tidak membangkitkan perkara itu atau berunding dengan mana-mana negara lain, kata Mazrouei.
  • Pengunduran dianggap kemenangan untuk Presiden AS Donald Trump yang sebelumnya mengkritik OPEC dan harga minyak.

Ketiadaan UAE yang merupakan anggota lama OPEC mampu mencetuskan kekeliruan dan melemahkan kesatuan berkenaan yang biasanya cuba menampilkan kesatuan walaupun wujud perbezaan dalaman dalam pelbagai isu daripada geopolitik hingga kuota pengeluaran.

Menteri Tenaga negara UAE, Suhail Mohamed al-Mazrouei dipetik Reuters bahawa keputusan berkenaan dibuat selepas menilai secara teliti strategi tenaga negara itu.

Apabila ditanya sama ada UAE berunding dengan Arab Saudi, beliau berkata negaranya tidak membangkitkan perkara itu dengan mana-mana negara lain.

“Ini adalah keputusan dasar, ia dibuat selepas penelitian rapi terhadap dasar semasa dan masa depan berkaitan tahap pengeluaran,” katanya.

Pengeluar OPEC di Teluk sebelum ini bergelut untuk menghantar eksport melalui Selat Hormuz yang biasanya menyalurkan satu perlima daripada minyak mentah dunia dan gas asli cecair berikutan ancaman serta serangan terhadap kapal selepas konflik tercetus.

Mazrouei berkata langkah itu tidak akan memberi kesan besar kepada pasaran memandangkan keadaan di selat tersebut.

Namun, pengunduran UAE daripada OPEC dilihat sebagai kemenangan bagi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang sebelum ini menuduh organisasi itu “menindas seluruh dunia” dengan menaikkan harga minyak.

Trump juga mengaitkan sokongan ketenteraan AS kepada negara Teluk dengan harga minyak dan menyatakan bahawa ketika negaranya mempertahankan anggota OPEC, mereka “mengambil kesempatan dengan mengenakan harga minyak yang tinggi.”

Langkah ini dibuat selepas UAE, hab perniagaan serantau dan salah satu sekutu penting Washington, mengkritik negara-negara Arab lain kerana tidak melakukan secukupnya untuk melindunginya daripada pelbagai serangan Iran semasa perang.

Penasihat diplomatik Presiden UAE, Anwar Gargash mengkritik respons negara Teluk terhadap serangan Iran dalam satu sesi di Forum Influencers Teluk pada Isnin.

“Negara-negara Majlis Kerjasama Teluk saling menyokong dari segi logistik, tetapi dari sudut politik dan ketenteraan, saya rasa pendirian mereka adalah yang paling lemah dalam sejarah,” dakwa Gargash.

“Saya menjangkakan pendirian lemah ini daripada Liga Arab dan saya tidak terkejut dengannya, namun saya tidak menjangkakannya daripada Majlis Kerjasama (Teluk) dan saya terkejut dengannya,” katanya. – REUTERS