
ISTANBUL, 28 April – Pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bersedia mengadakan “sidang kemuncak perundingan tergempar” di bandar Saudi, Jeddah bagi membincangkan ketegangan serantau yang semakin meningkat dan usaha untuk meredakan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, lapor Anadolu Ajansi, memetik media Teluk.
- Pemimpin GCC menyokong rundingan tidak langsung AS-Iran dengan Pakistan bertindak sebagai pengantara.
- Sidang mungkin diadakan melalui persidangan video; Putera Mahkota Kuwait mewakili Emir dalam pertemuan.
- Gencatan senjata diumum 8 April melalui pengantaraan Pakistan; rundingan Islamabad pada 11 April berakhir tanpa kata putus.
Pertemuan itu, yang dilaporkan oleh Agensi Berita Kuwait (KUNA) dan media Teluk yang lain, diadakan dalam usaha antarabangsa untuk menamatkan perang yang berterusan dan menyokong rundingan tidak langsung antara AS dan Iran, dengan Pakistan sebagai orang tengah.
Menurut KUNA, Putera Mahkota Kuwait Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah telah pergi ke Jeddah untuk menghadiri sidang kemuncak itu bagi pihak Emir Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.
Saluran media serantau, termasuk akhbar Al-Jazirah Arab Saudi dan Al-Sharq Qatar, melaporkan sidang kemuncak itu mungkin diadakan melalui persidangan video, menunjukkan bahawa beberapa pemimpin mungkin mengambil bahagian dari jauh.
Perbincangan dijangka meliputi perkembangan terkini serantau serta keselamatan dan ekonominya, serta usaha berterusan untuk mengurangkan ketegangan dan meningkatkan kestabilan.
Pemimpin juga dijangka membincangkan mengenai pengantaraan Pakistan bagi Washington dan Tehran, kesan penutupan Selat Hormuz dan kebimbangan terhadap keselamatan maritim serta perdagangan global.
Sidang kemuncak itu juga akan meneliti serangan baru-baru ini yang menyasarkan negara Teluk iaitu beberapa negara mengaitkan serangan berkenaan dengan Iran dan sekutu serantaunya.
AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Februari mendorong Tehran bertindak balas dengan serangan terhadap apa yang disifatkannya sebagai kepentingan AS di seluruh rantau ini, kebanyakannya di negara Teluk.
Gencatan senjata diumumkan pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, diikuti rundingan yang diadakan di Islamabad pada 11 April namun rundingan berakhir tanpa kata putus.
Presiden AS Donald Trump kemudiannya berkata gencatan senjata telah dilanjutkan atas permintaan Pakistan sementara menunggu cadangan daripada Tehran.
GCC terdiri daripada Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain dan Oman.
Sidang kemuncak perundingan dalam kalangan pemimpin GCC pertama kali dipersetujui pada 1998 sebagai mesyuarat setiap setengah tahun yang berlangsung antara sidang kemuncak biasa, dengan yang pertama diadakan di Jeddah pada Mei 1999. – BERNAMA