Qatar beri amaran kemungkinan berlaku “konflik beku” di rantau Teluk

Foto REUTERS

DOHA, 28 April – Qatar pada Selasa memberi amaran terhadap kemungkinan berlakunya “konflik beku” di rantau Teluk ketika rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi perjanjian damai dilihat menemui jalan buntu.

RINGKASAN BERITA AI
  • White House meneliti cadangan Iran membuka semula Selat Hormuz, yang secara efektif ditutup sejak dua bulan kebelakangan.
  • Rundingan damai antara AS dan Iran masih belum mencapai keputusan sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April.
  • Qatar menyuarakan harapan agar perang berakhir secara berkekalan serta mengambil kira kebimbangan serantau dan antarabangsa.
  • Menteri Luar Iran menyalahkan AS atas kegagalan rundingan; media Iran melaporkan 3,468 korban, 1,460 daripadanya orang awam.

“Kami tidak mahu melihat kembalinya permusuhan di rantau ini dalam masa terdekat dan kami juga tidak mahu melihat konflik beku yang akhirnya ‘dicairkan’ atas sebab politik,” kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari, dalam satu sidang media.

White House pada Isnin memaklumkan bahawa ia sedang meneliti cadangan terbaharu Iran untuk membuka semula Selat Hormuz yang secara efektif telah ditutup selama dua bulan sejak bermulanya perang di Asia Barat.

Rundingan damai antara AS dan Iran untuk menamatkan perang secara menyeluruh serta membuka semula selat penting itu setakat ini masih belum mencapai keputusan sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April lalu.

“Kami amat berharap untuk melihat penamatan perang ini yang berkekalan dan mengambil kira semua kebimbangan kami di rantau ini dan juga di luar,” tambah Ansari.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi ketika lawatannya ke Rusia menyalahkan AS atas kegagalan rundingan damai berkenaan di Islamabad.

Manakala media Iran pula melaporkan seramai 3,468 orang terkorban dalam perang yang bermula pada 28 Februari lalu dengan 1,460 atau 45 peratus daripadanya adalah orang awam. – AFP