Jusoh Ismail dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu, sumbangan dalam pendidikan al-Quran

Penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada guru al-Quran, Jusoh @ Muda Ismail pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1448H/2026M di Dewan Besar, Wisma Darul Iman

KUALA TERENGGANU, 17 Jun – Jasa lebih enam dekad dalam memartabatkan ilmu al-Quran melayakkan Haji Jusoh@Muda Ismail dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Terengganu pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1448/2026 di Wisma Darul Iman, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Umur 95 tahun, terus dikenang sebagai tokoh utama dalam perkembangan pendidikan al-Quran dan qiraat di Terengganu.
  • Asal Kampung Seberang Bukit Payong, Marang; Johan Qari Tilawah Negeri selama tujuh tahun berturut-turut (1961-1967).
  • Aktif mengajar al-Quran dan gigih menyebarkan ilmu al-Quran serta hadis kepada masyarakat setempat.
  • Penghargaan anugerah sebagai pengiktirafan atas sumbangan melahirkan generasi celik al-Quran dan memperkukuh syiar Islam di negeri.

Pada usia 95 tahun, Haji Jusoh terus dikenang sebagai tokoh yang banyak menyumbang kepada perkembangan pendidikan al-Quran dan qiraat di Terengganu.

Beliau yang berasal dari Kampung Seberang Bukit Payong, Marang pernah muncul sebagai Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu selama tujuh tahun berturut-turut bermula tahun 1961 hingga 1967.

Selain aktif mengajar al-Quran, beliau turut dikenali kerana usaha berterusan menyebarkan ilmu al-Quran dan hadis kepada masyarakat.

Beliau menasihatkan umat Islam agar menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dengan sentiasa membaca, mempelajari dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Anugerah tersebut sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar beliau dalam melahirkan generasi celik al-Quran serta memperkukuh syiar Islam di Terengganu.

Turut disampaikan anugerah lain termasuk Tokoh Dakwah, Tokoh Keluarga Mithali, Anugerah Masjid Kerajaan Terbaik dan kategori kecemerlangan institusi Islam.

Hajah Napisah Abdul Rahman menerima Anugerah Keluarga Tunggal Mithali

Sementara itu, ketabahan membesarkan anak-anak secara bersendirian selama hampir tiga dekad melayakkan Napisah Abdul Rahman menerima Anugerah Keluarga Tunggal Mithali sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Terengganu.

Hajah Napisah, 74 tahun, dari Kampung Lembah, Dungun dikurniakan 14 orang cahaya mata dan telah melalui kehidupan sebagai ibu tunggal selama 27 tahun.

Beliau turut aktif menyumbang khidmat kepada masyarakat sebagai guru al-Quran dan Fardu Ain di kampungnya dan terlibat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk jawatankuasa surau serta pertubuhan wanita setempat.

“Terima kasih kepada anak-anak yang berusaha selama ini, percaya di atas nasihat umi.. Sebagai ibu tunggal kita perlu banyakkan bersabar di atas karenah anak-anak ini. Bila bergelar anak yatim ini, kelakuannya pun lebih daripada biasa, mesti bersabar.

“Menyedari hidup sebagai anak yatim, lahir rasa tanggungjawab dan keinsafan akan mendorong anak-anak untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh”, katanya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.