
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Dakwaan 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti awam melalui “pintu belakang” merupakan tuduhan berat, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
- Zambry anggap dakwaan pintu belakang serius, mencemarkan reputasi universiti dan menjejaskan keyakinan awam terhadap integriti pendidikan tinggi.
- Sistem kemasukan universiti awam berdasarkan mekanisme jelas, telus dan berasaskan merit serta syarat kelayakan ditetapkan.
- Pembuat tuduhan perlu mengemukakan bukti, sumber dan metodologi supaya angka dan dakwaan boleh disemak serta diuji kebenarannya.
- Beberapa universiti membuat laporan polis; tindakan bertujuan siasatan dan mempertahankan integriti, bukan menyekat kebebasan bersuara.
Beliau berkata tuduhan berkenaan bukan sahaja mencemarkan reputasi universiti awam, malah boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem pendidikan tinggi negara.
Menurutnya, sistem kemasukan ke universiti awam dilaksanakan menerusi mekanisme yang jelas, telus dan berasaskan merit serta syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Sekiranya benar dakwaan terdapat antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti melalui saluran yang tidak sah atau menyalahi peraturan, maka pihak yang membuat tuduhan tersebut perlu mengemukakan bukti dan fakta yang menyokong dakwaan berkenaan.
“Tuduhan sebesar ini tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa sebarang pembuktian. Dalam dunia akademik, angka bukan sekadar angka.
“Setiap angka yang disebut mesti mempunyai sumber, metodologi dan asas yang boleh disemak serta diuji kebenarannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Zambry berkata beberapa universiti awam telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan berkenaan.
Beliau menegaskan tindakan itu bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan setiap tuduhan dapat dibuktikan dan mengikut proses undang-undang.
“Jika bukti itu tidak dapat dikemukakan, maka pihak yang membuat tuduhan perlu bertanggungjawab terhadap segala kenyataan yang telah dikeluarkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan Kementerian Pendidikan Tinggi akan terus mempertahankan integriti institusi pendidikan tinggi negara daripada dakwaan yang tidak berasas.