
JASIN, 15 Oktober – Polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM6.8 juta menerusi dua serbuan di Melaka dan Johor.
- Seorang lelaki tempatan 27 tahun ditahan semasa sekatan jalan raya di Tol Lipat Kajang, Jasin.
- Ditemui MDMA 55 kg, ketamin 32.7 g, pil erimin 21.6 g dan pil ekstasi 32.2 g, beberapa dibungkus dalam paket minuman.
- Suspek bekerja sebagai jurulatih renang, disyaki terlibat pengambilan, pembungkusan dan pengedaran; direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya di kawasan Tol Lipat Kajang, Jasin kira-kira 11.30 pagi, semalam, selepas suspek dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan.
Sekatan jalan raya itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, pemeriksaan terhadap kereta yang digunakan suspek membawa kepada penemuan dadah disyaki ketamin seberat 3.70 gram (g) dan Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 27.50 kilogram (kg) yang dibungkus dalam paket jus minuman.
Beliau berkata hasil soal siasat membawa kepada serbuan susulan di sebuah unit kediaman di Johor Bahru, pada kira-kira 4.50 pagi tadi.
Serbuan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah serta peralatan yang disyaki digunakan untuk pembungkusan dan penyimpanan dadah.
“Jumlah keseluruhan rampasan ialah MDMA (55 kg), ketamin (32.7 g), pil erimin 5 (21.60 g) dan pil ekstasi (32.2 g), dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM6.8 juta.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai jurulatih renang. Berdasarkan maklumat yang diperolehi suspek disyaki terlibat dengan aktiviti pengambilan, pembungkusan dan pengedaran bekalan dadah.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah, sumber bekalan serta individu lain yang mungkin terlibat.
“Modus operandi yang disyaki digunakan adalah dengan menjadikan premis kediaman sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan dadah sebelum bekalan tersebut dibawa keluar untuk tujuan pengedaran”, katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Melaka.
Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 21 Oktober bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala siasatan berkaitan penggunaan dadah turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.