
GENEVA, 17 Jun – Switzerland mengumumkan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan diadakan pada Jumaat ini bertempat di Burgenstock, sebuah wilayah di tengah Switzerland, dan bukannya di Geneva seperti yang dijadualkan sebelum ini.
- Majlis akan dihadiri Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf dan Naib Presiden AS J.D. Vance.
- Trump: teks penuh MoU akan diterbitkan, perjanjian menyatakan Iran tidak akan memperoleh senjata nuklear, akan dihantar ke Kongres.
- Gabenor Bank Pusat Iran menjelaskan pelan pencairan aset untuk memastikan Iran mengakses dana tanpa gangguan.
Majlis bersejarah itu bakal dihadiri oleh Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf dan Naib Presiden AS, J.D. Vance, lapor Timbalan Menteri Luar Iran, Majid Takht-Ravanchi, pada Isnin.
Pada hari sama, Presiden AS Donald Trump turut mengisytiharkan bahawa laluan strategik laut, Selat Hormuz akan dibuka semula sepenuhnya menjelang Jumaat ini.
Bercakap di Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) yang berlangsung di bandar Evian-les-Bains, Perancis, Trump menyatakan bahawa teks penuh MoU tersebut akan diterbitkan secara rasmi kepada umum.
Beliau turut meramalkan fasa kedua rundingan AS-Iran bakal bergerak dengan pantas.
“MoU ini akan diserahkan kepada Kongres untuk semakan lanjut sebelum satu sidang media diadakan. Saya menegaskan bahawa perjanjian ini secara eksplisit menyatakan Iran ‘tidak akan memperoleh senjata nuklear’,” ujar Trump.
Sementara itu di Tehran, Gabenor Bank Pusat Iran, Abdolnaser Hemmati menjelaskan mengenai pelan pencairan aset negara itu di bawah MoU berkenaan.
Menurut beliau, proses penggubalan perjanjian tersebut telah mengambil kira semua pengalaman lalu dan rujukan sejarah bagi memastikan mekanisme yang dipersetujui memberi jaminan tertinggi buat Iran mengakses dana tersebut tanpa gangguan.- REUTERS