Banjir kilat landa Cebu, tanah runtuh ragut tiga nyawa

Foto Pihak Berkuasa Filipina

CEBU, 11 Oktober – Hujan lebat yang melanda wilayah tengah Filipina menyebabkan banjir di beberapa kawasan di Cebu City, manakala kejadian tanah runtuh meragut tiga nyawa, termasuk dua kanak-kanak pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tanah runtuh di Barangay Pulangbato menimbus sebuah rumah.
  • Kejadian menjejaskan 35 keluarga membabitkan 137 orang.
  • Penduduk kawasan berisiko diarahkan berpindah susulan kebimbangan tanah runtuh.
  • PAGASA meramalkan hujan dan ribut petir berterusan sehingga 14 Oktober, hujan harian 40 hingga 60 peratus.

Tanah runtuh di Barangay Pulangbato menyebabkan sebuah rumah tertimbus.

Pihak berkuasa memaklumkan, kejadian itu menjejaskan 35 keluarga yang membabitkan 137 orang.

Penduduk di kawasan berisiko turut diarahkan berpindah berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya tanah runtuh susulan, akibat hujan berterusan.

Di daerah Tagunol, air banjir berlumpur menenggelamkan jalan raya dan menyukarkan pergerakan penduduk.

Air deras turut melimpah ke kawasan sekitar, manakala pejalan kaki terpaksa meredah banjir sedalam paras pinggang.

Banjir turut melanda Barangay Tisa dan Casili di kawasan Consolacion berikutan hujan lebat.

Pihak berkuasa tempatan mengaitkan kejadian banjir teruk yang kerap berlaku di Metro Cebu dengan sistem saliran yang sudah usang, saluran air tersumbat serta pembangunan bandar yang pesat.

Sementara itu, Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA) meramalkan hujan dan ribut petir berterusan di Metro Cebu sehingga 14 Oktober.

Agensi itu turut meramalkan kebarangkalian hujan harian antara 40 hingga 60 peratus sepanjang tempoh berkenaan. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.