AS-Rusia capai perjanjian bekalan diesel berskala besar

Donald Trump/ AFP

WASHINGTON, 10 Oktober – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Jumaat mengucapkan terima kasih kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, berhubung perjanjian bekalan diesel berskala besar ke negara itu, sambil menolak kritikan keras Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rusia dijangka membekalkan 300,000 tan diesel serta-merta, 500,000 tan pada November, dan jumlah keseluruhan 4.8 juta tan.
  • Moscow mengesahkan kesediaan membekalkan minyak dan produk petroleum; Kirill Dmitriev kata kerjasama tenaga beri manfaat pasaran global.
  • Perjanjian diumumkan ketika kenaikan harga diesel menjejaskan pengguna, petani dan pengangkutan; rundingan diplomatik di Miami ditamatkan awal.

“Itu satu perjanjian yang besar. Jumlah minyak yang dibawa masuk ke negara kita (AS) amat besar. Sejujurnya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Putin.

“Kita menerima bekalan minyak dalam jumlah yang sangat besar dan ia adalah diesel, iaitu bahan api yang kita perlukan,” kata Trump di Washington pada Jumaat.

Ketika ditanya wartawan mengenai bantahan Zelensky, Trump menolak kritikan Presiden Ukraine itu dan menegaskan perjanjian berkenaan akan membantu menurunkan harga bahan api.

“Kita memerlukan minyak untuk dunia. Ini diesel, iaitu bahan yang kita perlukan. Jadi, kita sangat berpuas hati dengan kerjasama ini. Kita memerlukannya,” tambah Trump.

Zelensky sebelum ini mengecam perjanjian itu sebagai tidak adil dan menyifatkannya sebagai “keputusan lemah oleh rakan kongsi yang kuat”.

Trump mengumumkan perjanjian berkenaan selepas mengadakan perbualan telefon dengan Putin.

Menerusi perjanjian itu, Rusia dijangka membekalkan lebih 300,000 tan diesel ke AS serta-merta, diikuti 500,000 tan pada November dan penghantaran seterusnya yang berjumlah keseluruhan 4.8 juta tan.

Moscow mengesahkan kesediaannya membekalkan minyak dan produk petroleum kepada AS serta pasaran global.

Kremlin memaklumkan kedua-dua presiden turut membincangkan konflik di Ukraine, situasi berkaitan Iran dan hubungan dua hala.

Wakil khas Presiden Rusia, Kirill Dmitriev, menyambut baik perjanjian itu sambil menyatakan bahawa kerjasama tenaga dan ekonomi antara Moscow dengan Washington akan memberi manfaat kepada pasaran global.

Perjanjian itu diumumkan ketika kenaikan mendadak harga bahan api meningkatkan tekanan terhadap Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS pada November.

Harga diesel melonjak susulan gangguan bekalan tenaga yang dikaitkan dengan perang melibatkan Iran, sekali gus menjejaskan pengguna kenderaan, petani dan syarikat pengangkutan di AS.

Perjanjian bekalan diesel itu diumumkan ketika Utusan Khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner, mengadakan pertemuan dengan pegawai Ukraine serta Eropah di Miami bagi membincangkan langkah yang berpotensi menamatkan konflik berkenaan.

Bagaimanapun, rundingan itu dilaporkan ditamatkan lebih awal tanpa sebarang perancangan untuk hari kedua.- VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.