Kesilapan sendiri buka peluang Messi lakar hatrik – pengendali Algeria

Pengendali Algeria, Vladimir Petkovic / REUTERS

KANSAS CITY, 17 Jun – Pengendali Algeria, Vladimir Petkovic, mengakui kesilapan anak-anak buahnya telah membuka peluang buat Lionel Messi menjaringkan hatrik ketika Argentina mencatatkan kemenangan 3-0 dalam aksi Kumpulan J.

RINGKASAN BERITA AI
  • Messi tunjuk kualiti luar biasa, sering bertindak tenang dan bijak dalam situasi kritikal untuk menjaringkan gol.
  • Argentina catat 10 percubaan, tujuh daripadanya datang daripada Messi, menunjukkan peranan besar beliau dalam serangan.
  • Kesilapan penjaga gol Luca Zidane beri peluang jelas kepada Messi untuk gol pertama dan gol kedua.
  • Petkovic minta pasukan belajar, bergerak pantas dengan bola dan segera bangkit menjelang pertemuan dengan Jordan dan Austria.

Messi mempamerkan sentuhan berbisa bagi membantu skuad Albiceleste memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan langkah kanan.

Meskipun memuji kualiti yang diperagakan oleh bintang berusia 38 tahun itu, beliau kesal kerana pemainnya memberikan terlalu banyak ruang kepada lawan.

“Kualiti beliau (Messi) tidak boleh dipertikaikan. Kita bukan bercakap mengenai pemain biasa, tetapi seorang bintang bola sepak yang telah memenangi anugerah Ballon d’Or sebanyak tujuh atau lapan kali sepanjang kariernya.

“Malangnya, kami sendiri yang memberi peluang dan memudahkan tugas beliau untuk menjaringkan gol pertama dan kedua.

“Namun, Messi dengan ketenangan dan kebijakannya dalam situasi kritikal perlawanan, sentiasa mampu melakukan sesuatu dengan sangat mudah.

Argentina melakukan 10 hantaran percubaan hari ini, dan tujuh daripadanya datang daripada Messi,” kata Petkovic selepas perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Arrowhead itu, penjaga gol Algeria, Luca Zidane, gagal menyelamatkan rembatan pertama Messi, sebelum sekali lagi melakukan kesilapan apabila memberikan bola muntah yang membolehkan kapten Argentina itu menolak masuk gol kedua.

Messi kemudian melengkapkan hatriknya pada minit ke-76 menerusi rembatan kencang hasil umpanan Nico Gonzalez.

“Bukan gaya saya untuk menyalahkan mana-mana pemain secara individu, tetapi saya rasa kami melakukan terlalu banyak kesilapan dengan membiarkan pemain Argentina bebas melakukan rembatan ke arah gol.

“Kami perlu menyalahkan diri sendiri, namun apa yang penting ialah kami perlu belajar daripada kesilapan ini,” tambah Petkovic.

Beliau turut mengingatkan pasukannya agar segera bangkit bagi menghadapi baki saingan Kumpulan J menentang Jordan pada 22 Jun dan Austria, lima hari kemudian.

“Kami tidak boleh terlalu kecewa dengan tiga gol ini. Kami perlu bergerak dan menghantar bola dengan lebih pantas selepas ini. Kami akan menentang lawan yang berbeza, jadi kami perlu memastikan pasukan kembali yakin kerana kami tahu kami mampu melakukannya,” katanya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.