1MDB: SPRM peroleh perintah larangan transaksi RM6.7 juta di Barbados

Foto Fail


KUALA LUMPUR, 28 April– Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah larangan transaksi kira-kira AS$1.7 juta (RM6.7 juta) yang disyaki berkait penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah larangan transaksi di bawah Seksyen 53 Akta AMLATFPUAA susulan permohonan SPRM.
  • SPRM menegaskan komitmen menjejak, membeku dan memulihkan dana diseleweng untuk dikembalikan kepada negara.
  • Siasatan mendapati individu tertentu antara 2014 hingga 2019 disyaki menerima, memindah dan menyembunyikan hasil aktiviti haram; akaun dana asing turut dibekukan.

Perintah berkenaan dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid pada 28 April 2026 di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 susulan siasatan Bahagian Operasi Khas SPRM.

Perintah itu membabitkan dua akaun perbankan di Amicorp Bank and Trust Limited, Barbados, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berpuas hati dengan permohonan pendakwaan berhubung unsur pengubahan wang haram.

“Susulan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan perintah larangan transaksi kewangan melibatkan wang berjumlah AS$56,285.88 dalam akaun milik Lambasa Global Opportunity Fund BV dan wang berjumlah AS$1,649, 118.40 dalam akaun milik Universal Ventures Fund SCC,” kata kenyataan itu.

Siasatan mendedahkan bahawa antara 2014 hingga 2019, beberapa individu termasuk pemegang akaun serta pengarah syarikat luar negara disyaki terlibat menerima, memindah dan menyembunyikan hasil aktiviti haram.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata tindakan tersebut mencerminkan komitmen berterusan agensi dalam menjejak, membeku dan memulihkan dana yang diseleweng untuk dikembalikan kepada negara.

“Dalam keadaan ekonomi global mencabar, usaha pemulihan aset bukan sekadar penguatkuasaan tetapi tanggungjawab melindungi kepentingan kewangan negara.

“Setiap ringgit dipulihkan adalah hak rakyat Malaysia,” katanya berhubung kenyataan hari ini.

Tan Sri Azam menegaskan SPRM akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa serta memanfaatkan saluran perundangan bagi mengesan, membeku dan melucut hak aset yang disembunyikan di luar negara.