Kebocoran paip Hospital Ampang: Pelan kontingensi telah diaktifkan

Kerja pemulihan dilaksanakan segera bagi membolehkan operasi dewan bedah kembali berfungsi sepenuhnya dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 29 April Insiden kebocoran paip air sejuk di laluan koridor dewan bedah Hospital Ampang pada 27 April lepas berpunca daripada masalah teknikal yang mengakibatkan limpahan air serta menjejaskan struktur siling di kawasan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan kontingensi diaktifkan segera untuk memastikan perkhidmatan kritikal terus beroperasi dan memindahkan semua kes kritikal ke bilik pembedahan selamat.
  • Operasi pembedahan sebahagian terjejas; beberapa bilik pembedahan tidak dapat digunakan sementara waktu, kes elektif ditangguhkan dan akan dijadual semula.
  • Pemeriksaan dan pembaikan menyeluruh sedang dijalankan; JKNS mohon maaf dan komited memulihkan operasi dewan bedah sepenuhnya dalam masa terdekat.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam satu kenyataan memaklumkan, limpahan air tersebut berjaya dikawal dalam tempoh singkat dan keadaan kini terkawal.

Pemeriksaan serta pembaikan menyeluruh sedang dijalankan di kawasan terjejas bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Insiden berkenaan turut menjejaskan operasi sebahagian dewan bedah apabila beberapa bilik pembedahan tidak dapat digunakan buat sementara waktu.

Bagaimanapun, pelan kontingensi telah diaktifkan segera bagi memastikan perkhidmatan kritikal terus berjalan, termasuk pemindahan semua kes kritikal ke bilik pembedahan yang selamat.

Kes elektif yang ditangguhkan pula akan dijadualkan semula.

JKNS memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan menegaskan komitmen untuk memastikan kerja-kerja pemulihan dilaksanakan segera bagi membolehkan operasi dewan bedah kembali berfungsi sepenuhnya dalam masa terdekat.