Kesesakan klinik mata HKL: Sistem janji temu pesakit diperkemas

Beberapa langkah penambahbaikan sedang dan telah dilaksanakan

KUALA LUMPUR, 29 April – Susulan isu kesesakan di Klinik Pakar Oftalmologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang tular di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi klinik dilanjutkan waktu tengah hari dengan penggiliran petugas dan penjadualan lebih teratur untuk mengoptimumkan aliran pesakit.
  • Sistem janji temu berperingkat dilaksanakan; pesakit menunggu sekitar 30 hingga 45 minit selepas pendaftaran sebelum prosedur lanjut.
  • Pesakit diminta mematuhi waktu janji temu supaya aliran perkhidmatan lebih teratur; HKL komited menambah baik mutu dan menghargai maklum balas.

Beberapa langkah penambahbaikan sedang dan telah dilaksanakan bagi memperkemas pengalaman pesakit.

Pengarah HKL, Dato’ Dr. Harikrishna K.R. Nair berkata, antara langkah tersebut ialah pengoperasian klinik secara berterusan pada waktu tengah hari menerusi sistem penggiliran petugas, selain mengoptimumkan penjadualan janji temu dan aliran pesakit.

Menurut beliau, klinik berkenaan merupakan pusat rujukan utama bagi kes-kes mata termasuk yang kompleks, dengan kira-kira 480 janji temu pesakit setiap hari serta purata 70 kes rujukan baharu.

Bagi memastikan kelancaran perkhidmatan, sistem janji temu berperingkat telah dilaksanakan.

Menurut kenyataan HKL, pesakit yang hadir mengikut slot ditetapkan hanya perlu menunggu sekitar 30 hingga 45 minit selepas pendaftaran, sebelum menjalani prosedur lanjut seperti pemeriksaan dan pengembangan anak mata.

Namun, keseluruhan tempoh rawatan boleh mengambil masa antara empat hingga enam jam bergantung kepada keperluan klinikal setiap pesakit.

Sehubungan itu, HKL memohon kerjasama semua pesakit agar mematuhi waktu janji temu yang ditetapkan bagi memastikan aliran perkhidmatan lebih teratur serta keselesaan bersama.

Pihak pengurusan HKL menegaskan komitmen berterusan untuk menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan dan menghargai setiap maklum balas yang diterima daripada orang ramai.