
KOTA BHARU, 17 Jun – Kerjasama strategik Malaysia dan Indonesia dalam bidang pendidikan diperkukuh menerusi pemeteraian tiga Letter of Intent (LOI).
- Fokus LOI kepada pembangunan akademik, penyelidikan dan pengantarabangsaan institusi pengajian tinggi.
- LOI pertama antara FCoEE dan FSDK UMK menumpukan Program Keusahawanan Digital untuk melahirkan usahawan teknologi dan memperkasa ekonomi digital.
- Kerjasama dengan Universitas Deztron dan Universitas Ubudiyah merangkumi penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran, mobiliti serta pembangunan inovasi dan teknologi pendidikan.
Ia memfokuskan kepada pembangunan akademik, penyelidikan serta pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
Pengerusi Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata, kolaborasi itu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program berimpak tinggi.
Khususnya dalam keusahawanan digital, inovasi teknologi dan pembangunan ekonomi komuniti.
Menurut beliau, LOI pertama melibatkan kerjasama antara FCoEE dan Fakulti Sains Data dan Komputeran (FSDK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Menerusi Program Keusahawanan Digital bagi melahirkan usahawan berasaskan teknologi serta memperkasa ekonomi digital.
“UMK dipilih sebagai rakan strategik kerana reputasinya sebagai Universiti Keusahawanan Malaysia yang melahirkan graduan berdaya saing serta membangunkan ekosistem inovasi,” katanya.
Inisiatif itu digerakkan oleh FSDK UMK bersama dua institusi pengajian tinggi Indonesia menerusi Majlis Jalinan Jaringan Sinergi di sini.
LOI kedua melibatkan Universitas Deztron Indonesia dan FSDK UMK merangkumi penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran, mobiliti pensyarah dan pelajar serta pembangunan inovasi digital dan penerbitan ilmiah.
Sementara itu, LOI ketiga dimeterai bersama Universitas Ubudiyah Indonesia dengan fokus kepada pembangunan teknologi pendidikan, program mobiliti, perkongsian kepakaran dan pemindahan ilmu.
Penganjuran majlis itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperluas kerjasama strategik, sekali gus memperkasa pembangunan bakat digital dan inovasi serantau.