
PUTRAJAYA, 17 Jun – Seramai 284,448 pengunjung direkodkan dalam tempoh empat hari penganjuran Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan, sekaligus menjadi angka tertinggi sejak ia diperkenalkan pada 2023.
- Rakyat semakin menghargai kepelbagaian budaya, warisan dan identiti sebagai asas kekuatan negara.
- Perpaduan memerlukan usaha berterusan, konsisten dan menyeluruh, bukan program sekali sahaja.
- KPN perlu sediakan ruang dan platform interaksi; semua pihak mesti komited membina Malaysia bersatu dan harmoni.
Menteri Perpaduan Negara (KPN), Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pencapaian itu membuktikan rakyat Malaysia semakin menghargai kepelbagaian budaya, warisan dan identiti yang menjadi asas kekuatan negara.
“Ini mencerminkan tahap penghayatan rakyat terhadap nilai perpaduan dan keharmonian yang terus diperkukuh menerusi pelbagai platform interaksi,” katanya menerusi kenyataan.
Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan telah berlangsung pada 11 hingga 14 Jun 2026 di Kota Kinabalu, yang menawarkan pelbagai pameran budaya, warisan dan kenegaraan.
Menyentuh mengenai usaha memperkukuh perpaduan negara, Datuk Aaron berkata, perpaduan tidak boleh dibina melalui satu penganjuran program semata-mata, sebaliknya memerlukan usaha yang berterusan, konsisten dan menyeluruh.
“Perpaduan tidak bersifat sekali beri, sebaliknya komitmen jangka panjang yang perlu dipupuk dan diwariskan dari satu generasi ke satu generasi yang lain,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, peranan utama KPN adalah menyediakan lebih banyak ruang dan platform interaski bagi membolehkan rakyat saling memahami, menghormati perbezaan serta memperkukuh rasa kebersamaan sebagai rakyat Malaysia.
“Usaha memperkukuh perpaduan memerlukan komitmen semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat bagi membina sebuah Malaysia yang lebih bersatu, harmoni dan sejahtera untuk generasi akan datang,” katanya lagi.