
LIPIS, 17 Jun – Cabaran perpaduan masa kini bukan lagi hadir dalam bentuk peperangan atau penjajahan, sebaliknya disebarkan melalui fitnah, kebencian, hasutan dan perbalahan tanpa batas di media sosial.
- Perbezaan pandangan sepatutnya menjadi rahmat, bukannya punca permusuhan.
- Ada pihak sanggup meniup perpecahan demi kepentingan, menggunakan sentimen kaum, agama dan politik.
- Perpaduan bermakna berbeza tanpa permusuhan; menegur tanpa menghina dan bersaing tanpa meruntuhkan.
- Baginda menyeru berhijrah daripada prasangka kepada kepercayaan, perpecahan kepada penyatuan dan kebencian kepada persaudaraan.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan kebimbangan itu bertitah, perbezaan pandangan sepatutnya menjadi satu rahmat, bukan permusuhan serta perselisihan kecil diperbesar sehingga meretakkan hubungan sesama saudara.
“Lebih malang apabila ada pihak yang sanggup meniup api perpecahan demi kepentingan tertentu dan menjadikan sentimen kaum, agama dan politik sebagai alat untuk meraih sokongan sehingga menjejaskan masa depan rakyat,” titah Baginda.
Titah Al-Sultan Abdullah lagi, perpaduan bukan bermaksud semua pihak perlu berfikir dengan cara yang sama tetapi kemampuan untuk berbeza pandangan tanpa permusuhan, menegur tanpa menghina dan bersaing tanpa meruntuhkan antara satu sama lain.
Sehubungan itu, bersempena Maal Hijrah, Baginda menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama berhijrah daripada prasangka kepada kepercayaan, perpecahan kepada penyatuan, kebencian kepada persaudaraan kerana bangsa yang bersatu akan dihormati, manakala bangsa yang berpecah akan mudah diperkotak-katikkan.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1448 Hijrah/2026 yang berlangsung di Laman Sejahtera Jelai di sini.