
KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Penetapan syarat simpanan minimum RM15,000 bagi menerima tawaran menunaikan haji, berjaya mengurangkan kadar penangguhan secara mendadak kepada 18 peratus.
- Syor RCI: naikkan bayaran pendaftaran asas (Muassasah) dan tingkatkan deposit kelayakan mengikut kos semasa.
- Lebih 50 peratus tawaran haji dimohon ditangguh kerana bakal jemaah tidak membuat persediaan secukupnya.
- 'Siapa dahulu, didahulukan' kekal; pendeposit diberi lebih dua tahun hingga 31 Disember 2028 untuk mencukupkan baki.
- Mulai 1 Januari 2029 giliran haji disusun semula berdasarkan simpanan minimum; TH jangka tempoh menunggu dikurangkan sekitar 70 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata penetapan syarat simpanan minimum itu dibuat selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Menurutnya, syor RCI mencadangkan menaikkan bayaran pendaftaran asas (Muassasah) dan meningkatkan deposit kelayakan automatik berdasarkan kos semasa.
Syor itu susulan lebih 50 peratus tawaran haji dimohon untuk ditangguhkan kerana ramai bakal jemaah haji tidak membuat persediaan secukupnya.
“Keadaan ini menjejaskan kepada kecekapan pengurusan giliran dan memerlukan TH membuat tawaran gantian berulang kali dalam tempoh singkat.
“Saya ingin menekankan bahawa ini semangat yang kita angkat. Semangat dalam inisiatif Pelan Persediaan Haji Seruan Istito’ah untuk membina disiplin kewangan dan perancangan awal bakal haji untuk menuju kemampuan sedikit demi sedikit,” katanya.
Dr Zulkifli berkata, prinsip ‘siapa dahulu, didahulukan’ dalam sistem giliran haji kekal digunakan dengan pendeposit diberi lebih dua tahun atau sehingga 31 Disember 2028 untuk mencukupkan baki simpanan RM15,000 bagi mengekalkan giliran.
Manakala, kadar simpanan minimum RM15,000 itu juga kekal sebagai simpanan yang layak menerima agihan keuntungan setiap tahun.
Beliau turut memaklumkan bermula 1 Januari 2029, giliran haji akan disusun semula berdasarkan simpanan minimum selain, TH menjangkakan tempoh menunggu boleh dikurangkan kepada sekitar 70 tahun berbanding 150 tahun ketika ini.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.