
SEPANG, 26 Oktober – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) membangunkan teknologi hologram yang bakal ditempatkan di bangunan satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bagi memudahkan pengembara mendapatkan maklumat prosedur ketibaan ke negara ini.
- AKPS membangunkan teknologi hologram di bangunan satelit KLIA Terminal 1 untuk memudahkan pengembara mendapatkan maklumat prosedur ketibaan.
- AKPS menyasarkan pengeksportan 1,259 kontena sisa elektronik keluar negara menjelang akhir tahun selepas kejayaan eksport pertama tahun ini.
- Larangan mutlak pengimportan e-waste bermula 4 Februari 2026 dan penguatkuasaan melibatkan pengesahan dokumen, pemeriksaan teknikal serta pemantauan pihak terlibat.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AKPS Ismail Mokhtar berkata, inisiatif itu merupakan usaha agensi berkenaan memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kemudahan perkhidmatan kepada pengembara.
“Kami telah membangunkan hologram yang akan ditempatkan di bangunan satelit KLIA bagi membantu pengembara yang baru tiba mendapatkan maklumat berkaitan dokumen dan keperluan yang perlu disediakan semasa ketibaan di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Kedua AKPS di Movenpick, di sini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman.
Sementara itu, AKPS turut menyasarkan 1,259 kontena sisa elektrik dan elektronik (e-waste) dieksport keluar dari negara ini menjelang akhir tahun ini.
Sasaran itu susulan kejayaan kerajaan melaksanakan eksport keluar kontena e-waste buat pertama kali tahun ini menerusi pasukan petugas yang diketuai AKPS.
“Larangan mutlak pengimportan e-waste yang berkuat kuasa pada 4 Februari 2026 memperkukuh pendirian negara dalam membanteras kegiatan berkenaan.
“Buat pertama kalinya tahun ini, kerajaan menerusi pasukan petugas khas yang diketuai AKPS berjaya mengeksport keluar kontena yang membawa sisa elektronik. AKPS akan memastikan sebanyak 1,259 kontena dieksport keluar menjelang akhir tahun ini.
“Kita bukan sekadar mahu merampas barangan, sebaliknya menutup laluan penyeludupan, mengenal pasti pihak yang terlibat dan mematahkan rangkaian yang membolehkan kegiatan itu terus berulang,” katanya lagi.
Penguatkuasaan berkaitan e-waste semakin mencabar, merangkumi pengesahan dokumen, pemeriksaan teknikal, pengenalpastian pihak bertanggungjawab serta pemantauan tindakan susulan.