Kerjasama Petronas-TNB buka peluang tingkat kemahiran jurutera tempatan

Foto BERNAMA

MARINA BAY SANDS, 26 Oktober – Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkaitan pembelian tenaga angin daripada Petrovietnam dijangka memberi manfaat kepada Malaysia, khususnya dalam pembangunan modal insan dan kepakaran tenaga tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangunan kabel bawah laut membuka peluang jurutera tempatan memperolehi kemahiran dan pengalaman dalam pelaksanaan projek infrastruktur tenaga rentas sempadan.
  • Penaiktarafan sistem transmisi dijangka memberi manfaat kepada kontraktor tempatan melalui penglibatan dalam pelaksanaan projek.
  • Persidangan membincangkan pengukuhan kerjasama tenaga Malaysia-Singapura termasuk cadangan tambah 300 megawatt untuk projek solar terapung di Empangan Linggiu.
  • Malaysia menegaskan perlu adanya permintaan pembeli yang pasti sebelum membuat pelaburan dalam pembangunan sumber penjanaan dan sistem pembekalan.

MoU yang dimeterai bersempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026 itu turut melibatkan pembangunan kabel bawah laut serta penaiktarafan sistem transmisi elektrik ke Singapura.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembangunan kabel bawah laut berkenaan akan membuka peluang kepada jurutera tempatan memperoleh kemahiran dan pengalaman dalam pelaksanaan projek infrastruktur tenaga rentas sempadan.

“Kerja menaik taraf sistem transmisi pula dijangka memberi manfaat kepada kontraktor tempatan menerusi penglibatan dalam pelaksanaan projek berkenaan,” katanya ketika ditemui pada SIEW 2026 di Marina Bay Sands, Singapura.

Dalam perkembangan berkaitan, persidangan itu turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama tenaga antara Malaysia dan Singapura, termasuk cadangan menambah kapasiti 300 megawatt (MW) bagi projek solar terapung di Empangan Linggiu, Johor.

Datuk Seri Fadillah berkata, cadangan berkenaan akan dipertimbangkan oleh Malaysia dengan mengambil kira keperluan dan mekanisme pembekalan tenaga negara.

Beliau menjelaskan, perbezaan struktur pasaran tenaga antara kedua-dua negara turut menjadi pertimbangan dalam urusan pembekalan elektrik.

Katanya, Malaysia perlu mendapatkan permintaan yang jelas dan terjamin daripada pihak pembeli sebelum membuat pelaburan bagi membangunkan sumber penjanaan serta infrastruktur pembekalan tenaga.

“Kalau mereka mahu membeli 50 megawatt, mereka perlu memberikan permintaan yang pasti sebanyak 50 megawatt kerana kita perlu membelanjakan wang untuk membangunkan sumber tenaga, penjanaan dan sistem pembekalan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.