
ALOR SETAR, 26 Oktober – Beberapa kawasan di Daerah Kubang Pasu, Kedah yang sebelum ini berada dalam kawasan rabies immune belt susulan satu kes kematian yang direkodkan akibat penyakit rabies atau anjing gila kini diisytiharkan sebagai kawasan bebas wabak tersebut.
- Program vaksinasi, persampelan, pemantauan dan operasi rumah ke rumah di Changlun dalam lingkungan 10 km mendapati tiada jangkitan rabies baru.
- Sebanyak 503 anjing dan kucing divaksin; 169 sampel anjing dan 6 sampel kucing disahkan bebas rabies.
- Bilik Gerakan Khas ditutup 18 Oktober, dan mesyuarat bersama KKM diperkuat bagi laporan segera kes gigitan haiwan.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron berkata, hasil program vaksinasi anjing, persampelan, pemantauan dan operasi dari rumah ke rumah yang dilaksanakan di Changlun dan sekitar kawasan dalam lingkungan radius 10 kilometer mendapati, tiada jangkitan baru dikesan.
Sepanjang program berkenaan, pihaknya telah telah memberi vaksin kepada 503 ekor anjing dan kucing di sekitar kawasan berkenaan.
Daripada jumlah itu, 304 ekor dikenal pasti sebagai anjing liar, 164 anjing bertuan dan 35 ekor kucing. Sebanyak 232 ekor anjing liar yang ditangkap telah dimusnahkan.
Sampel 169 ekor anjing dan enam ekor kucing telah diambil untuk tujuan analisis dan kesemua sampel berkenaan disahkan bebas daripada jangkitan rabies.
“Ini bermakna tiada penularan rabies antara anjing atau kucing yang menggigit antara satu sama lain dalam kawasan liputan kita, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Perkara yang paling kita bimbangkan ialah jika terdapat kes positif kerana kita tidak tahu berapa banyak haiwan yang telah digigit atau lokasi haiwan berkenaan. Jika haiwan itu berkeliaran di merata-rata tempat, ia berpotensi menggigit haiwan atau individu lain. Itu yang kita mahu elakkan,” katanya.
Rentetan itu, Bilik Gerakan Khas yang dibuka bagi memantau situasi semasa penyakit Rabies di Changlun telah ditutup pada 18 Oktober lalu.
Datuk Dr. Noor Hisham bercakap ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Seberang Alor Setar, Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah.
Mengulas lanjut, pihaknya juga telah mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan setiap kejadian terutama digigit haiwan liar seperti anjing dan kucing dapat dilaporkan dengan segera kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.
Maklumat segera dapat membantu Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesan anjing terlibat dan seterusnya mengesan sekiranya anjing dan mangsa mempunyai tanda-tanda penyakit Rabies atau tidak.
Pada 27 September lalu, seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu, meninggal dunia selepas disahkan dijangkiti rabies. Kes berkenaan adalah kes pertama rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Kedah sejak 1998.