DR Congo sedia patuh protokol kesihatan Piala Dunia

Skuad DR Congo melakukan latihan sebagai persiapan menjelang Piala Dunia/ REUTERS

LIEGE, 3 Jun – Skuad Republik Demokratik Congo (DR Congo) akan menghormati sebarang keputusan berkaitan kesihatan sepanjang kejohanan, kata ketua jurulatih Sebastien Desabre dalam satu sidang media pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persatuan bola sepak dan FIFA mengesahkan delegasi DR Congo mematuhi protokol Amerika Syarikat berkaitan Ebola supaya pasukan boleh sertai Piala Dunia.
  • Wabak Ebola masih menular di DR Congo dan Uganda; WHO melaporkan ratusan kes disyaki dan kematian disyaki dalam siasatan.
  • Desabre menegaskan skuad kekal fokus pada tugas, mensasarkan melepasi peringkat kumpulan dan mempamerkan imej terbaik kepada dunia.

Perkara itu susulan penularan wabak Ebola yang melanda negara Afrika berkenaan, namun pasukan akan tetap mematuhi sekatan kesihatan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Semua pemain datang dari Eropah, dan kakitangan tempatan turut mematuhi tarikh akhir untuk berlepas, jadi ia langsung tidak menjejaskan kehidupan harian kami.

“Seperti biasa, sejak COVID-19 lagi, kami mempunyai protokol kesihatan dalaman yang sentiasa dipatuhi,” katanya kepada media.

Wabak Ebola masih menular di DR Congo, dengan kes turut dilaporkan di Uganda. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan pada Jumaat bahawa terdapat 906 kes disyaki Ebola di negara itu, termasuk 223 kematian disyaki yang masih dalam siasatan.

Pada Sabtu, pihak berkuasa bola sepak DR Congo memaklumkan bahawa persatuan bola sepak negara itu dan FIFA telah mengesahkan delegasi Piala Dunia negara itu mematuhi protokol Amerika Syarikat berkaitan wabak tersebut, sekali gus membolehkan pasukan tersebut menyertai kejohanan.

Desabre turut menegaskan bahawa skuadnya kekal fokus untuk menghadapi saingan Piala Dunia.

“Ini adalah kejohanan baharu, dan Piala Dunia merupakan kejohanan terbaik di dunia. Kami fokus kepada tugas kami, dengan sasaran utama untuk melepasi peringkat kumpulan.

“Saya berjanji kepada penyokong DR Congo bahawa kami akan memberikan yang terbaik, dengan mentaliti tinggi kerana pemain kami mahu mempamerkan imej terbaik kepada dunia,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.