Trofi Piala Dunia FIFA dipamerkan di AS

Trofi Piala Dunia FIFA dipamerkan di Muzium Sejarah Alam Amerika, New York/ REUTERS

NEW YORK, 3 Jun – Trofi Piala Dunia FIFA dipamerkan di Muzium Sejarah Alam Amerika di sini pada Selasa sebagai sebahagian daripada Jelajah Trofi Coca-Cola Piala Dunia FIFA 2026 sekali gus merancakkan kempen kejohanan tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peminat, pihak media dan pelajar berpeluang melihat trofi secara dekat; Bastian Schweinsteiger turut diberi peluang menyentuh, mengangkat dan mencium piala.
  • Schweinsteiger mengimbau rasa teruja dan mengingatkan kepayahan pemain untuk menjuarai kejohanan paling berprestij bola sepak.
  • Piala Dunia 2026 dianjur di AS, Kanada dan Mexico dengan 48 pasukan serta 12 kumpulan; New York/New Jersey akan menganjurkan lapan perlawanan termasuk akhir.

Peminat, pihak media serta pelajar sekolah tidak melepaskan peluang untuk melihat trofi berkenaan secara dekat tidak terkecuali Bastian Schweinsteiger yang pernah bersama pasukan Jerman berjaya merangkul piala itu pada 2014 di Brazil.

Schweinsteiger antara individu dibenarkan menyentuh dan mengangkat trofi tersebut, turut mencium serta memegang piala keramat tersebut.

“Pertemuan semula dengan trofi itu membangkitkan rasa teruja dan mengingatkannya betapa sukar untuk pemain bola sepak menjulang trofi paling berprestij dalam sukan itu,” katanya.

Schweinsteiger yang bersara pada 2019 selepas menamatkan kariernya bersama Chicago Fire, merupakan antara pemain paling berjaya dalam sejarah Jerman.

Beliau menghabiskan lebih sedekad bersama Bayern Munich dengan memenangi beberapa kejuaraan Bundesliga, Piala Jerman serta Liga Juara-Juara 2013 sebelum menyertai Manchester United dan kemudiannya beraksi di Major League Soccer.

Schweinsteiger telah mengumpul 121 penampilan bersama Jerman dan membantu pasukan negara itu menewaskan Argentina pada aksi akhir Piala Dunia 2014.

Menurut beliau jelajah trofi itu mampu memberi inspirasi kepada pemain muda untuk melihat sendiri anugerah berkenaan.

Zohran Mamdani pula berkata New York bersedia untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu, dengan kawasan New York/New Jersey dijadualkan menganjurkan lapan perlawanan termasuk perlawanan akhir dari 13 Jun hingga 19 Julai.

Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dengan format baharu melibatkan 48 pasukan dan 12 kumpulan.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.