Niaga hadapan MSM ditutup bercampur-campur

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 28 April– Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup bercampur-campur hari ini walaupun harga minyak mentah meningkat, kata seorang peniaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peniaga kata sentimen disokong kenaikan pasaran minyak kacang soya; paras sokongan RM4,400 dan rintangan RM4,620 setiap tan.
  • Kontrak Mei, Jun dan Jul 2026 meningkat, manakala Ogos hingga Oktober menunjukkan penurunan harga.
  • Jumlah dagangan melonjak kepada 93,387 lot dan kepentingan terbuka berkembang kepada 259,686 kontrak.

Sewaktu berita ini ditulis, minyak mentah Brent naik 2.79 peratus kepada US$111.3 setong.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata sentimen pasaran juga disokong oleh kenaikan dalam pasaran minyak kacang soya.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,400 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,620 setiap tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2026 dan Jun 2026 masing-masing bertambah RM3 kepada RM4,468 setiap tan dan RM4,508 setiap tan manakala kontrak Julai 2026 naik RM2 kepada RM4,536 setiap tan.

Kontrak Ogos 2026 susut RM1 kepada RM4,559 setiap tan, kontrak September 2026 merosot RM4 kepada RM4,572 setiap tan manakala kontrak Oktober 2026 turun RM2 kepada RM4,578 setiap tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 93,387 lot daripada 62,887 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 259,686 kontrak daripada 257,941 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan kekal tidak berubah pada RM4,530 setiap tan. -BERNAMA