
KUALA LUMPUR, 28 April- Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama dan unit serantau, namun tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur ekoran kenaikan harga minyak mentah.
- Ringgit didagangkan dalam jajaran kecil berikutan merosotnya harapan penyelesaian konflik AS dan Iran, menimbulkan sentimen berhati-hati pelabur.
- Harga minyak mentah WTI dan Brent naik ketara, menambah tekanan dan kehati-hatian dalam pasaran.
- Pelabur mengikuti rapat mesyuarat FOMC dua hari; keputusan bank pusat utama dijangka minggu ini.
- Pada akhir dagangan, ringgit mengukuh berbanding euro, yen, pound, serta mata wang serantau seperti SGD, baht, rupiah dan peso Filipina.
Pada 6.00 petang, mata wang tempatan berada pada 3.9505/9550 berbanding dolar AS, hampir tidak berubah daripada 3.9505/9545 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit didagangkan dalam jajaran kecil apabila harapan terhadap penyelesaian konflik AS-Iran semakin pudar, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak mentah.
Beliau berkata harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent masing-masing meningkat 2.55 peratus dan 2.74 peratus kepada US$98.83 setong dan US$111.20 setong.
“Pelabur juga akan mengikuti rapat mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) selama dua hari mulai hari ini,” katanya kepada Bernama.
Beberapa keputusan dasar penting juga akan dibuat minggu ini iaitu oleh Bank of Japan, Rizab Persekutuan AS, European Central Bank dan Bank of England.
Pada akhir dagangan, ringgit tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6189/6242 daripada 4.6387/6434 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4756/4785 daripada 2.4810/4837.
Unit domestik mengukuh berbanding pound British kepada 5.3292/3353 daripada 5.3525/3580.
Ringgit turut meningkat berbanding mata wang negara serantau.
Unit tempatan lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.0943/0983 daripada 3.1018/1052 ketika ditutup pada Isnin, dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.1494/1685 daripada 12.2129/2309.
Ringgit juga lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 229.1/229.4 daripada 229.5/229.8 semalam, serta naik peso Filipina kepada 6.44/6.46 daripada 6.50/6.51. -BERNAMA