
KUALA LUMPUR, 28 April – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut baik pengenalan Kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME SRF) berjumlah RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
- Perluasan sokongan pembiayaan kepada PMKS melalui kerjasama KUSKOP dan Bank Negara bagi memperkukuh ekosistem perniagaan.
- Tingkatkan akses kredit inklusif khusus untuk usahawan baharu dan peminjam kali pertama bagi memperluas peluang pembiayaan.
- Pertimbangkan pendekatan pembiayaan hibrid yang menggabungkan kekuatan sektor kewangan dan pasaran modal negara.
- Amalkan pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, institusi kewangan dan ekosistem keusahawanan untuk menjamin perniagaan tempatan berdaya tahan.
Menterinya, Steven Sim berkata pengumuman itu bertepatan dengan peranan strategik bank pusat dan institusi kewangan dalam memperkukuh ekosistem Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), khususnya dalam suasana ketidaktentuan ekonomi semasa.
Jelasnya, perkara itu turut dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour yang berlangsung pagi tadi.
Kedua-dua pihak turut memfokuskan kepada usaha untuk memperluas sokongan pembiayaan kepada PMKS.
“Terdapat keperluan untuk meningkatkan akses kredit dan pembiayaan yang lebih inklusif, khususnya bagi usahawan baharu dan peminjam kali pertama.
“Pertemuan itu juga menyentuh potensi pendekatan pembiayaan hibrid bagi menggabungkan kekuatan sektor kewangan dan pasaran modal negara untuk menyokong pertumbuhan PMKS,” jelas beliau menerusi satu kenyataan.
Sehingga Mac 2026, pembiayaan kepada PMKS oleh institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan (DFI) mencecah RM443.8 bilion, mewakili hampir 51 peratus daripada jumlah pinjaman perniagaan.
Mengulas lanjut, Steven berkata sokongan kepada PMKS memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, institusi kewangan, sektor perbankan dan seluruh ekosistem keusahawanan, selari dengan misi “Hebatkan Perniagaan Malaysia” oleh KUSKOP.
“KUSKOP komited untuk memastikan lebih banyak perniagaan tempatan kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global, di samping merebut peluang untuk terus berkembang dan meningkatkan produktiviti ke tahap seterusnya,” jelasnya.