
SANDAKAN, 28 April – Tiada sebarang aduan berkaitan kes penipuan melibatkan perjalanan ibadah haji jemaah Malaysia diterima setakat ini.
- Operasi penerbangan jemaah haji Malaysia berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.
- Kesiapsiagaan Lembaga Tabung Haji memastikan pengurusan haji tidak terjejas meskipun dunia berdepan krisis global.
- Kecekapan Tabung Haji diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai antara pengurusan haji terbaik.
- Dr Zulkifli hadir Program Dhuyufurrahman dan menyerahkan beg simbolik kepada jemaah; Sabah catat 1,166 jemaah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hassan berkata, operasi penerbangan jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci juga berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
Menurut beliau, meskipun dunia berdepan krisis global, situasi itu tidak menjejaskan pengurusan haji negara berikutan kesiapsiagaan Lembaga Tabung Haji (TH) yang berpengalaman serta profesional.
“Kita mendoakan agar segala perjalanan haji berjalan dengan baik dan tiada kes penipuan berlaku. Alhamdulillah, setakat ini kita masih berada pada landasan yang sangat baik dan belum menerima sebarang laporan berkaitan penipuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Dhuyufurrahman di sini.
Dr Zulkifli berkata, kecekapan TH dalam menguruskan operasi haji turut mendapat pengiktirafan Kerajaan Arab Saudi sebagai antara pengurusan terbaik.
Dalam majlis sama, beliau yang diiringi Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak TH, Datuk Nurlaila Said serta Pengarah Negeri Sabah TH, Yusdi Nasip turut menyempurnakan simbolik penyerahan beg kepada jemaah haji daerah Sandakan.
Sabah menjadi antara negeri mencatat jumlah tinggi jemaah terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini dengan seramai 1,166 orang.