Tragedi Karak: Pemandu Treler direman empat hari

Foto RTM

BENTONG, 15 Jun – Pemandu treler yang terlibat dalam nahas yang mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak petang semalam (Ahad) direman selama empat hari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu dibawa ke IPD Bentong selepas menerima rawatan di hospital.
  • Ujian air kencing mendapati pemandu positif syabu.
  • Tangkapan terhadap pemandu dibuat pada pukul 4.00 pagi.
  • Empat sekeluarga maut selepas kereta mereka dihimpit treler muatan habuk besi yang dipercayai hilang kawalan di Kilometer 43.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sejurus selesai menerima rawatan di hospital pada Ahad.

Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap pemandu tersebut mendapati dia positif dadah jenis Syabu.

Susulan itu, tangkapan telah dibuat ke atas pemandu pada pukul 4.00 pagi tadi.

Beliau berkata, pihak polis kemudiannya mengemukakan permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Raub pada pukul 8.30 pagi tadi.

Mahkamah membenarkan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Terdahulu, mangsa disahkan meninggal dunia selepas kereta yang mereka naiki dihempap sebuah lori treler membawa muatan habuk besi yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Sementara itu, kesemua empat jenazah mangsa yang maut selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap sebuah lori treler di Kilometer 43, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak semalam, dibawa ke Masjid Besar Temerloh pada 1.30 tengahari.

Kesemua mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai A. Halim Hasoon, isterinya Rozita Buang, anak perempuan mereka Norbahyah A. Halim, serta cucu perempuan pasangan tersebut, Nayla Afya Aizat yang baru berusia satu tahun.

Jenazah empat sekeluarga berkenaan dijadualkan dibawa pulang ke Bentong untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Mempaga 1.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.