Jalan damai AS-Iran: Legakan pengguna, jamin bekalan bahan api

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Pengumuman perjanjian damai yang dijadual dimeterai antara Amerika Syarikat dan Iran pada Jumaat ini telah mencetuskan reaksi positif dalam pasaran kewangan dunia.

Antara kesan paling ketara menerusi penurunan harga minyak mentah Brent yang susut hampir 4 peratus, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) mencatat penurunan sekitar 2 peratus.

Menurut Pakar Geostrategis, Profesor Dr Azmi Hassan, kestabilan harga tenaga berpotensi membantu mengurangkan tekanan inflasi import serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi serantau.

“Walaupun penurunan ini tidak diterjemahkan serta-merta kepada harga di pam minyak tetapi hakikatnya bekalan minyak akan menjadi lebih terjamin. Pasaran saham Asia juga menunjukkan peningkatan yang mendadak hasil sentimen positif ini.

Bagaimanapun, masih terdapat pelbagai kerumitan yang perlu dibincangkan, khususnya berkaitan isu nuklear serta pengurangan tindakan ketenteraan. Namun setakat ini, situasi itu memberi impak positif kepada ekonomi dunia dan juga Malaysia,” katanya.

Beliau menjangkakan, dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, rakyat dapat melihat penurunan harga petrol secara berperingkat yang sedikit sebanyak mampu melegakan kos sara hidup.

“Bagi Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, perkembangan ini dilihat mampu menyokong pertumbuhan ekonomi dan memberi kelegaan kepada pengguna sekiranya trend penurunan harga minyak dapat dikekalkan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.