10,000 CCTV percepat siasatan jenayah, tingkat keselamatan Kuala Lumpur

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Jun Pemasangan 10,000 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh Kuala Lumpur sejak 2020 membantu mempercepat siasatan jenayah, di samping meningkatkan kecekapan operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Rangkaian CCTV meluas membolehkan polis mengesan kejadian dengan lebih cepat dan tepat, menyokong siasatan dan tindakan penguatkuasaan.
  • PDRM komited memperluas penggunaan teknologi maklumat dan kecerdasan buatan untuk meningkatkan keupayaan siasatan serta keberkesanan operasi.
  • Peruntukan RM500 juta dan kerjasama DBKL membantu pemasangan serta pengoperasian rangkaian CCTV di ibu negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, teknologi pemantauan itu menjadi antara aset penting dalam usaha memperkukuh keselamatan awam, terutama ketika pasukan polis berdepan kekangan sumber manusia.

Menurut beliau, rangkaian CCTV yang meluas membolehkan pihak polis mengesan sesuatu kejadian dengan lebih cepat dan tepat, sekali gus membantu proses siasatan dan tindakan penguatkuasaan.

“Sumber manusia dalam pasukan adalah terhad, namun dengan kemajuan teknologi, kita mampu mengenal pasti kejadian dengan lebih berkesan serta menyokong operasi kepolisan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Perangi Scam di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan komitmen PDRM untuk terus memperluas penggunaan teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keupayaan siasatan serta keberkesanan operasi pasukan.

“Saya sentiasa menggalakkan warga pasukan mempertingkat dan memperkemas penggunaan IT serta AI kerana ia membantu kita menyelesaikan siasatan dan melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau mengakui, pelbagai inisiatif berasaskan teknologi, termasuk sistem CCTV memberi impak positif dalam membantu polis menyelesaikan kes serta memperkukuh penguatkuasaan undang-undang.

Sebanyak RM500 juta diperuntuk bagi pemasangan dan pengoperasian rangkaian bersepadu 10,000 CCTV di seluruh ibu negara, sejak 2020.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengn PDRM sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkat pemantauan keselamatan di Kuala Lumpur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.