
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Penglibatan etnik Rohingya dalam indeks jenayah di negara ini berada pada tahap yang sangat rendah dengan hanya 89 individu daripada komuniti itu dikesan terbabit dalam salah laku undang-undang sejak tahun 2024 hingga kini.
- Penglibatan etnik Rohingya dalam jenayah di Malaysia adalah rendah, menyangkal persepsi negatif masyarakat.
- Isu Rohingya berpunca konflik kemanusiaan di Myanmar; Malaysia mengamalkan pendekatan kemanusiaan tetapi pemulangan dan penempatan semula berdepan jalan buntu.
- Keselamatan negara dan ketenteraman awam kekal keutamaan; PDRM bekerjasama dengan Imigresen dan UNHCR untuk pemantauan serta tindakan penguatkuasaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata statistik berkenaan sekadar merangkumi kira-kira 0.02 peratus daripada keseluruhan kes jenayah domestik, sekali gus menyangkal persepsi serta naratif negatif masyarakat umum terhadap pelarian berkenaan.
Beliau menegaskan, isu Rohingya perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas kerana ia berpunca daripada konflik kemanusiaan serta pergolakan politik yang berlarutan di negara asal mereka, Myanmar.
Jelasnya, Malaysia selama ini mengamalkan pendekatan berasaskan kemanusiaan dengan menerima golongan terbabit secara sementara, namun proses penghantaran pulang atau penempatan semula ke negara ketiga kini berdepan jalan buntu.
“Kalau kita tanya diri kita, bila mereka datang ke negara kita, ke mana kita hendak hantar semula, pada masa lalu kita mempunyai kerjasama dengan negara-negara lain yang berjanji untuk menerima mereka tetapi sekarang ini tidak ada langsung,” katanya selepas merasmikan Program PB Scam Rangers: Perangi Scam Dua Pasukan Satu Matlamat, di sini.
Meskipun berdepan situasi rumit itu, Tan Sri Mohd Khalid memberi jaminan bahawa aspek keselamatan negara dan ketenteraman awam tetap menjadi keutamaan tertinggi yang tidak akan dikompromi oleh pihak berkuasa.
Bagi memastikan pemantauan berterusan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalin kerjasama rapat dengan Jabatan Imigresen bagi berkongsi maklumat serta mengesan lokasi lebih 215,000 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Langkah itu penting bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil secara serta-merta sekiranya berlaku pelanggaran syarat atau penglibatan dalam aktiviti jenayah.
Tegasnya, semua individu yang berada di Malaysia termasuk warga Rohingya dan warga asing lain tertakluk kepada undang-undang negara dan akan dikenakan tindakan sekiranya didapati melakukan kesalahan.