El Nino : Rakyat disaran bersedia hadapi cuaca panas dan kering – TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Rakyat disaran sentiasa bersedia dan peka terhadap perkembangan cuaca semasa susulan fenomena El Nino yang dijangka mula mempengaruhi cuaca negara dalam tempoh terdekat dan berkemungkinan berterusan sehingga awal 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • El Nino dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering sepanjang Monsun Barat Daya, mengurangkan jumlah hujan di beberapa kawasan.
  • Keadaan boleh meningkatkan risiko kekurangan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu jika langkah pencegahan tidak diambil.
  • Rakyat dinasihatkan berjimat air, elakkan pembakaran terbuka, utamakan kesihatan golongan terdedah dan rujuk maklumat cuaca rasmi seperti myCuaca.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, fenomena itu dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa sepanjang Monsun Barat Daya, sekali gus berpotensi mengurangkan jumlah hujan di beberapa kawasan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat menjelaskan, keadaan tersebut boleh meningkatkan risiko kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu jika langkah pencegahan tidak diambil lebih awal.

“Seluruh rakyat dinasihatkan agar sentiasa bersedia dan peka terhadap perkembangan cuaca semasa. Gunakan air secara berhemah, elakkan aktiviti pembakaran terbuka serta utamakan kesihatan diri dan keluarga, khususnya golongan yang lebih terdedah kepada cuaca panas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menggalakkan orang ramai mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi aplikasi myCuaca dan saluran rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menurut beliau, persediaan awal dan tindakan yang bertanggungjawab daripada semua pihak amat penting bagi mengurangkan risiko serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Katanya, kerajaan akan terus memantau perkembangan fenomena ini dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.